Loji Pengekstrakan Phytonutrien Perkukuh Kedudukan Sabah dalam Pasaran Oleokimia Antarabangsa
Pembukaan Loji Pengekstrakan Phytonutrien milik Kunak Lipids Sdn Bhd dijangka meletakkan Sabah secara strategik dalam memenuhi permintaan pasaran oleokimia antarabangsa, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Menurut beliau, selain meningkatkan daya saing negeri, loji ini juga bakal menjana peluang pekerjaan serta merangsang pembangunan ekonomi tempatan, khususnya di daerah Kunak dan kawasan sekitarnya.
“Loji ini adalah bukti komitmen Kumpulan Sawit Kinabalu untuk memperluaskan operasi mereka melebihi pengeluaran komoditi mentah. Langkah ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memperkukuhkan rantaian nilai industri kelapa sawit serta memastikan Sabah kekal sebagai peneraju sektor hiliran bernilai tinggi,” katanya ketika merasmikan loji berkenaan pada 30 September 2025 di Kunak.
Hajiji, yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, turut berbangga dengan inisiatif menghasilkan tokoferol tempatan di bawah jenama Sawit Kinabalu Tocotrienols (SKT3), yang bakal dipasarkan tidak lama lagi.
“Ini membuktikan Sabah sedang berinovasi memanfaatkan kekayaan kelapa sawit untuk produk berteknologi tinggi. Malaysia selama ini mengimport berjuta-juta kilogram Vitamin E setiap tahun. Dengan tocotrienol kini dihasilkan secara tempatan, kita bukan sahaja mengurangkan kebergantungan import, tetapi juga membuka peluang baharu dalam pasaran nutraseutikal serta memberi manfaat kesihatan kepada rakyat,” katanya.
Beliau menambah, inisiatif ini turut menekankan kepentingan pengurusan dan penanaman kelapa sawit secara lestari agar bekalan berterusan dapat memenuhi permintaan global yang semakin meningkat.
Ketua Menteri menegaskan, Kerajaan Negeri akan terus menyokong pelaburan yang memacu industri hiliran kelapa sawit secara inovatif dan mampan. “Saya percaya loji ini akan menjadi pemangkin utama kepada hasil negeri, menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran, serta mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai hab hiliran kelapa sawit serantau,” katanya.
Teks ucapan KM disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III/Menteri KerjaRayaDatuk Shahelmey Yahya.



