Peruntukan RM RM10 Juta Untuk Program Pemerkasaan Wanita di Sabah

berita-sabahnewsSept 2025
Datuk James Ratib, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, menyampaikan ucapan Hajiji.

Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM10 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) bagi melaksanakan pelbagai program pemerkasaan wanita di negeri ini. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan komited memastikan golongan wanita di Sabah mendapat peluang dan faedah yang sama rata, termasuk penglibatan dalam proses pembentukan dasar serta pembuatan keputusan di pelbagai sektor.

“Lebih ramai wanita kini dilantik untuk terlibat dalam sektor perkhidmatan awam dan agensi kerajaan. Kita mahu melahirkan generasi wanita Sabah yang berdaya tahan, berilmu, berkemahiran tinggi serta mampu memimpin bukan sahaja di komuniti mereka, malah di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Simposium Pemimpin Wanita Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 18 September 2025, dihadiri kira-kira 3,000 peserta.

Menurut Hajiji, pemerkasaan wanita masih berdepan cabaran termasuk jurang peluang pekerjaan antara lelaki dan wanita, diskriminasi gender tidak langsung, halangan budaya, persepsi masyarakat, serta akses adil kepada pendidikan, latihan kemahiran dan peluang ekonomi.

Sebelum simposium ini, kerajaan telah melaksanakan beberapa fasa program termasuk Engagement with Sabah Women’s Leaders pada 16 Jun 2025 yang menghimpunkan 1,300 wanita, diikuti Sabah Women’s Lab Fasa 1 dengan 300 peserta terpilih, dan Sabah Women’s Lab Fasa 2: Incubator Lab yang menyaksikan 75 peserta membentangkan projek masing-masing.

Peserta yang menamatkan kedua-dua fasa tersebut dipilih menyertai program khas Global Women @ SABAH (GLOW@SABAH) sebagai usaha melahirkan lebih ramai pemimpin wanita berwibawa.

“Simposium ini memberi fokus kepada tiga bidang utama – pendidikan, ekonomi dan kepimpinan (politik) – sejajar dengan Dasar Wanita Negara. Saya yakin ia akan memberi impak positif kepada semua wanita hebat yang hadir,” katanya.

Ucapan beliau telah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.