Hajiji Tambah Rumah Mesra SMJ; Memberi Geran Tanah; Bina Mini Kompleks Sukan; Terminal Bas Awam; Rumah Budaya, di Pitas

berita-sabahnewsOctober 2025

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengumumkan tambahan 10 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada golongan belia yang baru mendirikan rumah tangga mulai tahun 2026. "Dulu hanya ada empat atau lima buah rumah PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin), tapi tahun ini, 2025, kita bagi 40 buah Rumah Mesra SMJ dan tahun depan, 2026, kita tambah sebanyak 50 unit di setiap DUN untuk rakyat yang susah.

"Tambahan sebanyak 10 unit itu adalah untuk orang muda yang susah dan baru berkahwin kerana faham ada anak muda yang baru berkahwin masih tinggal di rumah keluarga," katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan dan Kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) pada 4hb Oktober 2025 di Kampung Taka, Pitas. Pelaksanaan agenda pembangunan di bawah dasar Hala Tuju Sabah SMJ sejak hampir lima tahun lalu adalah bukti nyata keupayaan kerajaan negeri memulihkan ekonomi dan memperkukuh kesejahteraan rakyat Sabah, kata Hajiji.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan sindiran, kepimpinan kerajaan tetap teguh melaksanakan amanah rakyat. SMJ bukan sekadar slogan, ia satu pelan bertindak yang telah menampakkan hasil. Mandat yang diberikan rakyat sejak September 2020 tidak disia-siakan, sebaliknya diterjemahkan melalui pelaksanaan SMJ. Beliau kata projek perumahan dan kedai LPPB di Kampung Taka, a bakal menjadi sebuah projek yang akan memberi impak besar kepada masyarakat di Pitas, sekaligus menyediakan peluang pekerjaan, malah membuka ruang kepada kegiatan perniagaan serta perkhidmatan yang bakal memberi faedah kepada seluruh lapisan masyarakat.

Projek ini – yang akan didirikan di atas tanah seluas 37.60 ekar milik LPPB - melibatkan pembinaan sebanyak 320 unit rumah; 171 unit kedai yang terdiri daripada unit kedai atau pejabat dua tingkat, superstore, showroom dan kiosk. Projek ini memberi peluang kepada masyarakat untuk memiliki rumah sendiri. Ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri hari ini yang mahu apa juga pembangunan untuk rakyat dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan pembangunan mana-mana daerah di Sabah, termasuk di Pitas, katanya, malah, sejak lima tahun lalu pelbagai projek dibawa untuk membangunkan dan memajukan daerah Pitas.

Hajiji turut mengumumkan kelulusan untuk membina mini kompleks sukan Pitas, selain pembinaan terminal bas awam dengan kos RM1 juta dan pembinaan rumah budaya di Dataran Pitas bernilai RM1.4 juta. Hajiji turut memberi perhatian terhadap projek ternakan udang yang agar dapat dihidupkan semula untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan ekonomi kepada rakyat Pitas. Hajiji turut menyerahkan sebanyak 468 geran tanah melibatkan keluasan 1,273.432 hektar kepada para penerima. Beliau juga akan berbincang dengan SAFODA berhubung sebidang tanah di Pitas yang dimohon oleh penduduk supaya dapat di berikan kepada mereka.