Sabah Perkukuh Masa Depan Tenaga Dengan Pengambilalihan Strategik di Medan Minyak North Sabah

berita-sabahnewsNovember 2025

Sabah kini melangkah lebih jauh dalam memperkukuh masa depan sektor minyak dan gasnya susulan pengambilalihan 20 peratus kepentingan penyertaan bukan operasi dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran Pemulihan Minyak Dipertingkat (EOR PSC) North Sabah oleh syarikat milik kerajaan negeri, SMJ Energy (SMJE).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata pada 28 November 2025, langkah strategik itu bukan sahaja meningkatkan penguasaan Sabah ke atas sumber energinya, tetapi turut memastikan manfaat jangka panjang dapat dinikmati rakyat negeri ini.

“Kita bukan sekadar meningkatkan pemilikan, tetapi juga memastikan hak Sabah terhadap masa depan tenaganya dipertahankan. Pengambilalihan ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk membina nilai sebenar daripada sumber kita, hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS di bawah Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai pada Disember 2021,” katanya.

Dengan aset Samarang dan North Sabah kini berada dalam portfolio SMJE, Sabah dijangka mampu membuat penghantaran sehingga tujuh kargo minyak mentah setiap tahun. Perkembangan ini bukan sahaja meningkatkan hasil negeri, malah mengukuhkan kedudukan Sabah dalam landskap tenaga huluan negara.

Hajiji berkata SMJE turut merancang menambah lagi ekuiti dalam sumber minyak dan gas di perairan Sabah selaras dengan CCA, bagi memastikan Sabah memperoleh penyertaan lebih besar, kawalan lebih kukuh dan perkongsian hasil yang lebih tinggi daripada aktiviti luar pesisir.

EOR PSC North Sabah merangkumi empat medan minyak di perairan cetek berhampiran Kota Belud. Setelah pengambilalihan dimuktamadkan, PETRONAS Carigali Sdn Bhd akan mengekalkan 30 peratus kepentingan, manakala SEA-Hibiscus Sdn Bhd terus bertindak sebagai operator dengan pegangan 50 peratus.