Belanjawan 2026: Cerminan Belanjawan Progresif dan Inklusif
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai belanjawan progresif yang berhemah serta inklusif, menumpukan perhatian kepada keperluan semua lapisan masyarakat, terutamanya golongan berpendapatan rendah.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri yang telah membentangkan Belanjawan negara yang progresif. Belanjawan ini memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negara, dan memperuntukkan RM6.9 bilion untuk Sabah, yang kita percaya akan membawa manfaat besar kepada negeri ini,” katanya selepas menyaksikan siaran langsung pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 10 Oktober 2025 di Menara Kinabalu.
Anwar turut mengumumkan bahawa peruntukan RM6.9 bilion untuk Sabah bagi tahun depan adalah yang tertinggi pernah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Belanjawan ini bukan sekadar angka, tetapi hasil daripada kestabilan politik Sabah di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap kepimpinan negeri. Sabah kini benar-benar diarusperdanakan dalam pembangunan Malaysia,” kata Hajiji.
Dalam Belanjawan 2026, Anwar turut mencadangkan peruntukan RM765 juta bagi pembinaan talian elektrik Southern Link, yang menurut Hajiji akan memberi manfaat besar kepada seluruh rakyat Sabah.
Turut diperuntukkan ialah dana RM220 juta bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur yang rosak akibat bencana alam termasuk di IPG Gaya, serta RM39 juta bagi Fasa 2 projek tebatan banjir.
Hajiji turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas sokongan berterusan terhadap projek Pan Borneo Sabah dengan peruntukan sebanyak RM1.67 bilion bagi tahun 2026.
Beliau juga memuji komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menunaikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan memenuhi tuntutan Sabah, termasuk dengan menaikkan geran khas interim kepada RM600 juta pada 2024, berbanding RM300 juta pada 2025.




