Kerajaan Sabah Alu-Alukan Keputusan Mahkamah Tinggi Mengenai Geran Khas 40 Peratus
Kerajaan Negeri Sabah mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Sabah Law Society (SLS) berhubung hak negeri itu terhadap geran khas 40 peratus daripada Kerajaan Persekutuan.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, keputusan tersebut mengesahkan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya di bawah Perkara 112C dan 112D, serta mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan semakan semula terhadap geran bagi tahun-tahun yang tertunggak dalam tempoh 90 hari.
“Kami lega dengan keputusan Mahkamah Tinggi ini kerana ia menegaskan hak perlembagaan Sabah dan mengiktiraf usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam mempertahankannya,” katanya.
Menurut Hajiji, kejayaan ini juga membuktikan ketegasan Kerajaan Negeri dalam memperjuangkan hak Sabah melalui pelbagai saluran rasmi termasuk mesyuarat Majlis Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, serta melalui surat rasmi yang dihantar ke Putrajaya.
“Sejak awal lagi, kami konsisten dan tegas memperjuangkan isu ini tanpa henti. Dengan keputusan ini, kami berharap Kerajaan Persekutuan akan menunaikan tanggungjawabnya seperti yang telah dipersetujui semasa pembentukan Malaysia,” jelas beliau.
Hajiji turut menegaskan bahawa penerimaan bayaran interim sebelum ini adalah tanpa menjejaskan hak perlembagaan Sabah, dan usaha memperjelas rekod sejarah termasuk Share of Growth of Federal Revenue Derived from Sabah (1964–1968) menjadi bukti kesungguhan Kerajaan Negeri memperkukuh asas tuntutan tersebut.
Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri akan terus berunding dengan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan perintah mahkamah dalam semangat kerjasama dan saling menghormati, bagi memastikan hak perlembagaan Sabah direalisasikan sepenuhnya.
Beliau turut memuji tindakan Sabah Law Society (SLS) membawa perkara itu ke mahkamah sebagai satu tindakan berkepentingan awam yang penting dalam memperjuangkan hak rakyat Sabah.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Celestina Stuel Galid, dalam keputusannya pada 17 Oktober 2025, turut mengarahkan agar Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mencapai persetujuan bersama dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah itu, seperti yang dikehendaki di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.




