Pengumuman calon GRS pada 12 November 2025
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mengumumkan bahawa senarai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan diumumkan pada 12 November 2025, tiga hari sebelum hari penamaan calon PRN Sabah ke-17. Beliau berkata, parti lain boleh mengumumkan calon masing-masing lebih awal, namun GRS telah menetapkan tarikh 12 November (Rabu depan) untuk pengumuman rasmi. “Kita sudah bahagikan kerusi. Mereka mahu umum awal, terpulang, kita akan umum pada 12 November nanti,” katanya.
Hajiji berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Menumbok 2025–2035, di Menumbok pada 6 November 2025. Sebagai Pengerusi GRS, beliau yakin gabungan itu akan terus memerintah selepas pilihan raya pada 29 November 2025, berdasarkan kekuatan barisan calon berpotensi menang di semua kerusi yang ditandingi. “Kita hanya letak calon yang boleh menang, termasuk di Kuala Penyu. Saya yakin kita akan berjaya,” katanya.
Beliau menambah, jika GRS menang, kerajaan akan meneruskan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi memastikan kesinambungan pembangunan di seluruh negeri. Dalam perkembangan lain, Hajiji bersetuju supaya cadangan pembinaan jambatan Labuan–Sabah dibincangkan semula dengan kerajaan Persekutuan. Katanya, jambatan itu penting bagi meningkatkan hubungan antara pulau dan tanah besar Sabah serta merancakkan ekonomi Menumbok dan Kuala Penyu.




