2026 Buka Lembaran Baharu Kemajuan Sabah – Hajiji
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata tahun 2026 membuka lembaran baharu untuk Sabah terus melangkah maju dengan keazaman yang lebih kukuh serta semangat kebersamaan yang tinggi dalam kalangan rakyat. Beliau berkata Kerajaan Negeri bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang holistik, inklusif dan komprehensif bagi memastikan kemakmuran berterusan serta masa depan Sabah yang lebih cerah dan berdaya saing.
“Mengimbas kembali tahun 2025, ia merupakan tahun yang baik, dibina atas asas pembangunan yang kukuh serta kemajuan yang konsisten menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0,” katanya. Menurut Hajiji, Kerajaan Negeri akan meneruskan landasan pembangunan tersebut melalui SMJ 2.0 dengan memperkukuh komitmen terhadap perpaduan, kemakmuran dan pembangunan inklusif agar manfaat kemajuan dapat dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat Sabah.
Beliau berkata demikian dalam perutusan Tahun Baharu 2026 yang disampaikan pada 31 Disember 2025.Dalam perutusan sama, Hajiji merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Sabah atas mandat baharu yang diberikan kepada Kerajaan Negeri untuk terus memimpin negeri ini. “Kami amat menghargai kepercayaan dan sokongan ini. Ia merupakan satu amanah besar yang akan kami laksanakan dengan penuh akauntabiliti dan tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata dengan mandat baharu tersebut, Kerajaan Negeri kekal komited untuk memperkukuh tadbir urus, mengekalkan kestabilan politik serta memacu pembangunan yang menyeluruh demi kesejahteraan rakyat. “Sepanjang lima tahun yang lalu, usaha berterusan untuk mewujudkan kestabilan dan persekitaran yang kondusif telah membuahkan hasil yang ketara dan memberi manfaat kepada negeri,” katanya.
Mengakhiri perutusannya, Hajiji mendoakan agar seluruh rakyat Sabah dikurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan serta kejayaan pada tahun baharu.“Bersama rakan-rakan Jemaah Menteri Kabinet Negeri, saya dengan penuh keikhlasan mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu kepada semua rakyat Sabah,” katanya.




