GLC negeri Gagal Capai Prestasi Lima Tahun Berturut-Turut Berisiko Ditutup

berita-sabahDec 2025newsNovember 2025

Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang gagal menunjukkan prestasi memuaskan selama lima tahun berturut-turut akan dikaji semula dan berdepan kemungkinan diarahkan untuk ditutup, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Beliau berkata mana-mana GLC yang tidak mencatat keuntungan dalam tempoh tersebut akan disemak oleh Jawatankuasa Perunding dan Pengawasan Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Kerajaan Negeri (JPP-KKNS).

“Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak mengeluarkan arahan penutupan sekiranya GLC terbabit tidak menunjukkan sebarang prospek pemulihan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Dividen dan Sumbangan GLC serta Badan Berkanun Negeri di Menara Kinabalu pada 18 Disember 2025.

Hajiji menegaskan setiap GLC dan badan berkanun diwajibkan mematuhi kadar pembayaran dividen minimum sebanyak 10 peratus daripada keuntungan selepas cukai seperti yang telah ditetapkan sebelum ini. “Saya menjangkakan semua GLC menunjukkan disiplin kewangan serta komitmen tinggi dalam memenuhi kewajipan ini. Selain itu, bermula tahun hadapan, Kerajaan Negeri turut menyasarkan peningkatan sumbangan tahunan GLC antara RM2 juta hingga RM10 juta, bergantung kepada prestasi dan keupayaan syarikat,” katanya.

Ketua Menteri turut mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan melaksanakan rombakan terhadap pengerusi dan ahli lembaga pengarah GLC bagi memperkukuh tadbir urus korporat, meningkatkan kebertanggungjawaban serta menyuntik kepimpinan baharu.“Kerajaan menghargai sumbangan kepimpinan terdahulu, namun rombakan perlu bagi memastikan transformasi yang berkesan dan mampan,” katanya.

Menurut Hajiji, langkah itu selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya 2.0 yang bertujuan menjadikan GLC sebagai pemangkin ekonomi negeri yang cekap, berdaya saing dan dipercayai, seterusnya menjana pulangan lebih tinggi kepada rakyat dan kerajaan. Beliau turut mengulangi ketetapan bahawa mulai tahun depan, semua ketua pegawai eksekutif (CEO), pengurus besar kumpulan (GGM) dan pengurus besar (GM) GLC serta badan berkanun diwajibkan mengemukakan laporan prestasi bertulis setiap tiga bulan terus kepada Ketua Menteri.

“Laporan itu mesti merangkumi kemajuan projek, status kewangan, pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) serta tahap kecekapan operasi. Mana-mana pihak yang gagal mengemukakan laporan, tidak mencapai KPI atau menunjukkan prestasi tidak memuaskan akan disemak kedudukan mereka, termasuk kemungkinan diganti atau ditamatkan perkhidmatan,” katanya.

Hajiji berkata berdasarkan laporan semasa, prestasi keseluruhan GLC masih pada tahap sederhana dengan jumlah dividen dan sumbangan kepada Kerajaan Negeri berjumlah RM125.3 juta, berbanding paras tertinggi RM156.31 juta yang direkodkan pada 2022. “Walaupun sumbangan ini masih positif, potensi sebenar GLC negeri adalah jauh lebih besar dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan tadbir urus yang telus, integriti kewangan yang tinggi serta kepimpinan yang dinamik dan berorientasikan hasil, termasuk penerokaan sektor strategik baharu seperti kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa dan teknologi data. Ketua Menteri turut menyambut baik saranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya setiap agensi melantik Pegawai Integriti Bertauliah atau menubuhkan Unit Integriti bagi memperkukuh mekanisme pemantauan dalaman.

Pada majlis itu, Hajiji menerima replika cek dividen dan sumbangan daripada pelbagai GLC dan badan berkanun negeri berjumlah RM131.6 juta, dengan SMJ Energy Sdn Bhd muncul sebagai penyumbang terbesar menerusi dividen RM50 juta serta sumbangan RM1 juta kepada Jawatankuasa Bencana Alam Negeri.