Kerajaan Negeri Kekal Komited Pelihara Perpaduan, Kestabilan Politik
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memelihara perpaduan rakyat serta mengekalkan kestabilan politik sebagai asas kepada kemajuan dan pembangunan Sabah. Beliau berkata perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat serta suasana politik yang stabil merupakan faktor penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negeri dan menarik pelaburan.
“Perpaduan rakyat dan kestabilan politik adalah tunjang kepada kemajuan ekonomi serta keyakinan pelabur terhadap negeri ini,” katanya dalam perutusan Krismas 2025.
Dalam perutusan itu, Hajiji turut menggesa semua lapisan masyarakat agar terus menyemarakkan semangat Krismas yang berteraskan kasih sayang, kemurahan hati dan keprihatinan, di samping memperkukuh nilai toleransi, saling menghormati serta keharmonian antara kaum dan agama.
Beliau berkata Krismas, sebagai perayaan penting bagi penganut Kristian, secara tradisinya menyatukan keluarga serta rakan-rakan, dan dalam konteks kepelbagaian agama, etnik serta warisan budaya Sabah, perayaan tersebut menjadi platform berharga untuk mempererat hubungan dan memperkukuh perpaduan masyarakat.
“Dalam kepelbagaian yang kita miliki, Krismas memberi peluang kepada semua untuk bersatu, mengeratkan silaturahim dan memupuk keharmonian antara etnik,” katanya. Sambil menyampaikan ucapan selamat menyambut Krismas kepada seluruh penganut Kristian di negeri ini, Hajiji berkata, “Semoga perayaan ini memenuhi rumah anda dan komuniti kita dengan kegembiraan, kedamaian dan keharmonian.”




