Kerajaan Negeri Akan Pastikan Akses Pendidikan Untuk Semua Anak Sabah
Kerajaan Negeri menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap anak Sabah, khususnya daripada golongan B40, tidak terpinggir daripada peluang mendapatkan pendidikan. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, menerusi pelan pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 sebelum ini, pelbagai langkah telah dilaksanakan termasuk penyediaan bantuan persekolahan dan biasiswa bagi menyokong pembelajaran serta mengurangkan jurang pendidikan.
Beliau memaklumkan bahawa segala inisiatif bantuan pendidikan tersebut akan diteruskan di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0. Kenyataan itu disampaikan semasa majlis penyampaian cermin mata kepada murid sekolah pada 25 Januari 2026. Program tersebut merupakan tajaan Sabah Electricity melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Tamparuli.
Dalam ucapannya, Ketua Menteri turut menegaskan keperluan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri untuk memainkan peranan yang lebih proaktif dalam membantu golongan memerlukan, khususnya kumpulan B40. Beliau menekankan bahawa sumbangan kepada masyarakat bukan sekadar satu pilihan, sebaliknya merupakan tanggungjawab selaras dengan mandat penubuhan setiap GLC.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua GLC negeri terus melaksanakan program CSR yang berimpak tinggi, bersasar dan mampan, terutamanya dalam memperkukuh bidang pendidikan, kebajikan serta pembangunan modal insan rakyat Sabah. Beliau turut menjelaskan bahawa setiap inisiatif yang dijalankan akan dipantau secara telus dan sistematik, dengan laporan berkala dikemukakan kepada Kerajaan Negeri bagi memastikan keberkesanan serta akauntabiliti pelaksanaan program.
Pendekatan menyeluruh yang mengimbangi prestasi operasi, kelestarian kewangan dan tanggungjawab sosial, katanya, adalah selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri di bawah pelan Sabah Maju Jaya 2.0. Ketua Menteri turut menasihati para penerima sumbangan CSR agar menjadikan bantuan yang diterima sebagai dorongan untuk terus berusaha dan mengekalkan fokus dalam pelajaran.
Teks ucapan Ketua Menteri telah disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.




