Ketua Menteri dan Isteri hadir Majlis Penghargaan dan Terima kasih
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, telah menghadiri Majlis Penghargaan dan Terima Kasih yang berlangsung pada 17 Januari 2026 di Dewan Seri Sulaman, Tuaran. Majlis tersebut dianjurkan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih Ketua Menteri kepada rakyat, jentera parti serta jentera pentadbiran yang terus memberikan sokongan padu terhadap kepimpinan beliau dan Kerajaan Negeri dalam meneruskan agenda pembangunan Sabah.
Ketibaan Hajiji dan Juliah disambut dengan penuh meriah melalui persembahan kebudayaan, bacaan doa serta tayangan ucapan khas yang menzahirkan penghargaan dan komitmen berterusan Ketua Menteri kepada rakyat Sabah. Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Sabah, jentera parti, penjawat awam serta semua pihak yang terus menaruh kepercayaan dan sokongan kepada kerajaan negeri dalam usaha membangunkan Sabah secara terancang, inklusif dan mampan.
Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan politik dan pentadbiran negeri merupakan elemen penting bagi memastikan setiap dasar serta inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat. Selain itu, Hajiji menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh tadbir urus kerajaan negeri dan memastikan pelaksanaan agenda pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dilaksanakan secara lebih berfokus, menyeluruh dan berteraskan keperluan sebenar rakyat.
Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan hiburan daripada barisan artis tempatan serta artis jemputan dari Kuala Lumpur, sekali gus menjadikan program tersebut sebagai platform untuk merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat dalam suasana santai namun bermakna. Antara artis yang membuat persembahan ialah Rozaimie, Marleynnie, Ray Kimara, MJ Abadey, Misha Omar dan Datuk Jamal Abdillah, yang menghiburkan para hadirin dengan pelbagai lagu popular hingga ke penghujung acara.




