Sabah dan Sarawak Usaha Sama Memperkukuh Sistem Bekalan Elektrik Sabah
Projek Penyambungan Grid Kuasa Sabah–Sarawak akan memperkukuh sistem bekalan elektrik Sabah agar menjadi lebih stabil, boleh dipercayai dan mampan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. “Ini juga akan membawa kepada pengurangan kebergantungan terhadap bahan api fosil, memperkukuh margin rizab elektrik serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap kebolehlaksanaan dan kebolehpercayaan sistem bekalan kuasa di Sabah.
“Sabah menghargai kesediaan Sarawak untuk menjadi rakan strategik tenaga, bukan sahaja melalui kerjasama bekalan elektrik merentasi sempadan, malah sebagai rakan pembangunan Borneo yang berkongsi aspirasi masa depan yang sama,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Penyambungan Grid Kuasa Sabah–Sarawak pada 26 Januari 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC). Majlis turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg.
Hajiji berkata, bagi pihak Kerajaan Negeri, beliau percaya kerjasama seumpama itu merupakan langkah penting ke arah merealisasikan visi bersama BIMP-EAGA. “Dengan memajukan infrastruktur merentasi sempadan melalui Grid Kuasa ASEAN (APG), kita meningkatkan prospek ekonomi negara-negara terlibat. Infrastruktur tenaga yang berdaya tahan dan mampan akan mengukuhkan keyakinan pelabur serta memacu pertumbuhan sektor perindustrian, pembuatan dan hiliran,” katanya.
Beliau menambah, sebagai pintu masuk utama Malaysia ke BIMP-EAGA, Sabah memainkan peranan strategik dalam menyatukan sistem kuasa Borneo yang bukan sahaja membuka potensi perdagangan tenaga merentasi sempadan, malah mewujudkan asas kepada pasaran tenaga serantau yang bersepadu dan mampan. Katanya, Interkoneksi Grid Sabah–Sarawak merupakan pencapaian penting yang membuka laluan kepada hubungan tenaga masa hadapan dengan Kalimantan, Brunei Darussalam dan akhirnya Filipina selatan.
Mengulas permintaan tenaga yang semakin meningkat, Hajiji berkata Kerajaan Negeri menyedari sepenuhnya cabaran pertumbuhan populasi, perkembangan industri dan pembangunan luar bandar yang memerlukan bekalan elektrik mencukupi dan berterusan. “Bagi menangani perkara ini, Kerajaan Negeri melalui Majlis Tenaga Sabah, Suruhanjaya Tenaga Sabah dan agensi berkaitan melaksanakan strategi berfasa merangkumi langkah jangka pendek, sederhana dan panjang bagi memastikan margin rizab penjanaan mencukupi serta meningkatkan daya tahan sistem tenaga,” katanya.
Beliau berkata inisiatif yang sedang dilaksanakan termasuk pembangunan projek penjanaan tenaga baharu melibatkan campuran sumber tenaga pelbagai, termasuk loji gas sebagai tenaga peralihan serta pengembangan tenaga boleh baharu seperti hidro, solar, angin dan teknologi penyimpanan tenaga termaju. “Langkah-langkah ini bukan sahaja meningkatkan kapasiti, malah mengurangkan risiko gangguan bekalan dengan mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber tenaga sahaja,” katanya.
Hajiji menegaskan Kerajaan Negeri komited memastikan sektor tenaga Sabah berkembang selari dengan kelestarian alam sekitar. “Berpandukan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040, kita memberi tumpuan kepada tenaga boleh baharu bagi mengurangkan intensiti karbon dan memastikan masa depan tenaga yang lebih hijau serta mampan untuk generasi akan datang,” katanya. Beliau menambah Kerajaan Negeri kekal teguh dalam misinya menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan mampan bagi memacu pembangunan negeri serta menjamin kesejahteraan rakyat.




