Sokongan Rakyat Kunci Kejayaan Agenda Pembangunan Negeri
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa sokongan padu rakyat amat penting sebagai rakan kongsi strategik bagi merealisasikan agenda pembangunan Kerajaan Negeri demi kemajuan Sabah. Beliau berkata aspirasi utama kerajaan pimpinannya adalah melakar hala tuju pembangunan yang mampan dan inklusif untuk negeri serta seluruh rakyat.
“Aspirasi saya sebagai Ketua Menteri adalah untuk melakarkan laluan pembangunan untuk Sabah dan rakyat. Justeru, sokongan berterusan rakyat amat penting demi memastikan kesinambungan pembangunan negeri ini,” katanya Ketika merasmikan Festival Tarian Naga, Unicorn dan Singa sempena Tahun Baharu Cina 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada 25 Januari 2026.
Hajiji turut memuji Persatuan Komuniti Cina Sabah Bersekutu Kota Kinabalu (USCCAKK) atas kejayaan menganjurkan festival berkenaan secara konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus menjadikannya sambutan kebudayaan tahunan yang dinanti-nantikan oleh pelbagai lapisan masyarakat di Sabah.
Menurut beliau, penganjuran festival tersebut bukan sahaja memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina, malah berperanan sebagai platform penting untuk memupuk toleransi, saling menghormati serta memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum. “Sambutan perayaan dan kebudayaan pelbagai kaum, agama dan etnik merupakan identiti unik Sabah. Ia menjadi asas penting untuk memperkukuh perpaduan serta keharmonian rakyat di negeri ini,” katanya.
Mengulas Tahun Baharu Cina 2026 yang menurut Zodiak Cina merupakan Tahun Kuda Api, Hajiji berkata tahun tersebut dikaitkan dengan perubahan, inovasi dan keberanian serta menawarkan peluang besar untuk kemajuan. “Semangat dan tenaga dalam Tahun Kuda ini perlu kita manfaatkan bersama bagi membawa lebih banyak pembangunan ekonomi, sosial dan kesejahteraan rakyat di Sabah.
“Kerajaan Negeri akan terus mara ke hadapan meneruskan agenda pembangunan, memulihkan ekonomi, melaksanakan perancangan strategik serta mencari peluang terbaik demi kepentingan negeri dan rakyat,” katanya.
Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun.




