Sabah Perluas Kawasan Hutan Dilindungi Sepenuhnya
Sabah memperluaskan Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) melalui pewartaan kira-kira 216,000 hektar kawasan baharu melibatkan hutan simpan komersial dan Tanah Kerajaan. Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata langkah itu meningkatkan keluasan TPA di Sabah kepada 2.227 juta hektar atau lebih 30 peratus daripada keluasan negeri.
Beliau berkata pencapaian tersebut membolehkan sasaran 30 peratus kawasan perlindungan dicapai sekali gus mengukuhkan imej Sabah sebagai negeri dengan kawasan TPA terbesar di Malaysia.
Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Perhutanan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada 13 Februari 2026.
Ketua Menteri menegaskan kepentingan hutan sebagai pelindung biodiversiti, penstabil iklim dan sumber ekonomi serta memuji Jabatan Perhutanan atas usaha konservasi berterusan. Beliau turut mengingatkan supaya kutipan hasil sektor perhutanan dilaksanakan secara telus dan berintegriti, dengan jabatan itu merekodkan kutipan sebanyak RM161 juta tahun lalu.
Selain itu, beliau menggalakkan pelaksanaan program kesedaran alam sekitar untuk memupuk komuniti yang mementingkan kelestarian hutan dan memuji pencapaian Jabatan Perhutanan yang menerima Anugerah Pengurusan Sumber Manusia Terbaik 2025.




