Masyarakat Cina Rakan Strategik Kerajaan Bangunkan Sabah

berita-sabahFeb 2026news

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyeru masyarakat Tionghua di Sabah untuk terus menjadi rakan strategik kerajaan negeri dalam usaha membangunkan Sabah yang lebih maju dan makmur.

Dalam perutusan sempena Tahun Baharu Cina 2026, beliau berkata kerjasama erat antara kerajaan dan masyarakat pelbagai kaum penting bagi memperkasa pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat secara inklusif.

Menurutnya, sambutan Tahun Baharu Cina bukan sahaja mencerminkan kekayaan warisan budaya masyarakat Tionghua, malah memperkukuh keharmonian dan semangat kebersamaan rakyat berbilang kaum di Sabah.

Beliau turut menyifatkan Tahun Kuda Api 2026 sebagai simbol tenaga, keberanian dan inovasi yang mampu menjadi inspirasi kepada pembangunan negeri secara mampan dan seimbang. Ketua Menteri turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina dan Gong Xi Fa Cai kepada masyarakat Tionghua di Sabah serta seluruh negara.