RM559.85 Juta Diperuntuk Tingkatkan Keterjaminan Makanan Sabah

berita-sabahFeb 2026news

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM559.85 juta kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) pada tahun 2026 bagi meningkatkan keterjaminan makanan serta Kadar Sara Diri (SSR) tanaman makanan di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata sektor pertanian kekal sebagai antara tiga tonggak utama pembangunan ekonomi negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), sejajar dengan usaha memperkukuh sekuriti makanan berdepan cabaran perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi dan gangguan rantaian bekalan.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Jelajah Kebun Dapur MAFFI di Padang Istiadat, Tuaran pada 16 Februari 2026. Antara inisiatif utama termasuk pembangunan zon pengeluaran tanaman makanan di 15 Taman Kekal Pengeluaran Makanan serta peruntukan RM18 juta kepada Lembaga Padi dan Beras Sabah bagi perbelanjaan operasi dan perolehan jentera padi.

Menurut beliau, langkah itu menyokong sasaran mencapai 60 peratus Tahap Sara Diri (SSL) beras menjelang 2030. Pada masa sama, inisiatif Kebun Dapur di bawah program Revolusi Ekonomi Luar Bandar diperkenalkan bagi menggalakkan komuniti menghasilkan makanan sendiri dan mengurangkan kos sara hidup.

Ketua Menteri turut menggalakkan penyertaan belia dalam pertanian pintar melalui pendekatan mentor–mentee bagi memperkukuh pengetahuan serta peluang pendapatan di peringkat akar umbi.