Pelan Induk dan Kajian Kebolehlaksanaan Pandu Perancangan dan Pelaksanaan RMK13

berita-sabahFeb 2026news

Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) telah menyiapkan sembilan laporan Pelan Induk dan Kajian Kebolehlaksanaan bagi memandu perancangan serta pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk tempoh 2026 hingga 2030. Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata pelan-pelan tersebut disediakan untuk meneruskan program dan projek pembangunan wilayah tertinggal.

Antaranya ialah Kajian Pembangunan Ekonomi Kawasan Sempadan Sabah, Malaysia yang mencadangkan empat projek pemangkin dan 27 projek cadangan. Selain itu, Kajian Pelan Induk Lembah Makanan di Pedalaman Sabah melibatkan lima daerah utama — Keningau, Tambunan, Tenom, Tongod dan Nabawan — dengan keluasan 2.3 juta hektar. Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat SEDIA di Menara Kinabalu.

Menurutnya, sejak penubuhan sehingga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), SEDIA telah menerima peruntukan keseluruhan RM3.7 bilion daripada Kerajaan Persekutuan, termasuk RM646.3 juta yang diluluskan sepanjang tempoh RMK12.

Hajiji mengalu-alukan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam RMK13 bagi memastikan keseimbangan pembangunan antara wilayah maju dan ketinggalan. Katanya, pembangunan koridor dan hab pengeluaran khusus akan terus diteroka bagi memanfaatkan potensi ekonomi setempat. Berdasarkan Laporan Pencapaian Outcome Projek Sabah Development Corridor (SDC) bagi RMK9 hingga RMK11, pelbagai pencapaian membanggakan telah direkodkan.

Dalam sektor pertanian dan penternakan, pembangunan Pusat Penternakan Bersepadu Keningau (KILC) bernilai RM64.1 juta mencatat purata pengeluaran susu 7,168 liter sehari atau 2.5 juta liter setahun, menyumbang 29.6 peratus pengeluaran susu negeri pada 2022 serta mewujudkan 78 peluang pekerjaan setakat 2024.

Bagi sektor perindustrian dan logistik, Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Lahad Datu bernilai RM932 juta telah menjana pelaburan RM4.1 bilion dan menyediakan 3,099 peluang pekerjaan dengan 42 syarikat beroperasi setakat 2024.

Dalam sektor infrastruktur dan perhubungan, pembinaan laluan pejalan kaki dan berbasikal Tanjung Aru–UMS sepanjang 16.1 kilometer serta Jalan Dua Hala UiTM ke Pelabuhan Kontena Teluk Sepangar sepanjang tiga kilometer (termasuk terowong 600 meter) telah meningkatkan daya tarikan pelaburan di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) sebanyak RM8.32 bilion bagi tempoh 2017 hingga 2024, sekali gus mewujudkan 5,882 peluang pekerjaan.

Pembinaan Jalan Tongod–Pinangah sepanjang 48.5 kilometer dengan kos RM76.8 juta pula berjaya mengurangkan masa perjalanan sehingga 75 peratus, daripada empat jam kepada satu jam.

Selain itu, SEDIA turut mewujudkan Hab Pendidikan Sandakan bernilai RM100 juta sebagai Kluster Pembangunan Model Insan melibatkan Fakulti Pertanian Lestari UMS, Politeknik Sandakan, MRSM Sandakan dan Kolej Vokasional Sandakan 2. SEDIA juga diberi mandat melaksanakan 1,230 projek Inisiatif Madani dalam RMK12 bernilai RM102.3 juta meliputi pembasmian kemiskinan, People-Centric, Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) dan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Hajiji menegaskan rekod kejayaan projek SEDIA sejak RMK9 hingga RMK12 membuktikan agensi itu berupaya mempercepat pelaksanaan projek serta menilai impak pembangunan di Sabah. Beliau turut menekankan bahawa jurang pembangunan wilayah perlu dirapatkan melalui strategi “catching up” termasuk penstrukturan dasar dan tindakan yang bersesuaian.

“Tumpuan tidak seharusnya terlalu menekan kepada pulangan pelaburan segera, kerana setiap perbelanjaan kerajaan akan memberi pulangan melalui hasil cukai, peningkatan perbendaharaan negara serta impak sosial seperti peluang pekerjaan dan perniagaan kecil,” katanya.