SEDIA Pelengkap Strategik Hala Tuju Sabah Maju Jaya

berita-sabahFeb 2026news

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata agenda Koridor Pembangunan Sabah (SDC) di bawah seliaan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) merupakan pelengkap strategik kepada pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Beliau berkata agenda itu turut menyokong aspirasi pembangunan negara di bawah kerangka Malaysia Madani.

Katanya, dalam landskap pembangunan negeri yang semakin kompetitif, pelaburan strategik menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi Sabah. “Keutamaan kita adalah kepada pelaburan berkualiti tinggi yang mampu menjana peluang pekerjaan bernilai tambah, memperkukuh rantaian bekalan tempatan serta memberi limpahan manfaat jelas kepada komuniti setempat.

“Bagi memperkukuh ekosistem pelaburan negeri, SEDIA berperanan sebagai pemudah cara strategik dalam penyelarasan perancangan, pemacu promosi pelaburan serta penghubung antara Kerajaan Negeri, agensi Persekutuan dan sektor swasta,” katanya pada Majlis Sungkai Kurung-Kurung Ketua Menteri bersama Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan pada 24 Februari 2026 di Menara Kinabalu.

Hajiji berkata Kerajaan Negeri melalui SEDIA komited memastikan agenda pembangunan dilaksanakan secara seimbang dan inklusif di seluruh Sabah. Di bawah kerangka SDC, beberapa kajian strategik telah disiapkan bagi menyokong perancangan pembangunan wilayah yang lebih tersusun dan bersasar, antaranya Kajian Pelan Induk Ekonomi dan Pelan Perniagaan POIC Sandakan; Kajian Pelan Induk dan Pelan Perniagaan Zon Ekonomi Bebas, Hab Logistik dan Depoh Penyimpanan Sejuk di POIC Lahad Datu; Kajian Pembangunan Ekonomi Sempadan Sabah; serta Kajian Pelan Induk Lembah Makanan di pedalaman Sabah.

“Kesemua dapatan ini menyediakan asas kukuh untuk memacu pertumbuhan ekonomi wilayah secara inklusif dan mampan. SEDIA kekal relevan sebagai agensi pemudah cara dan penyelaras strategik dalam mempercepatkan pembangunan ekonomi negeri. “Keupayaan SEDIA turut diperkukuh melalui tadbir urus kewangan berintegriti, dibuktikan dengan penganugerahan Sijil Bersih Tanpa Teguran bagi penyata kewangan selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009 hingga 2024,” katanya.

Selari dengan pendekatan pembangunan berteraskan rakyat, pelaksanaan projek infrastruktur berorientasikan people-centric terus diperkasa bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara inklusif dan seimbang.

Bagi tempoh 2020 hingga 2025, sebanyak 1,126 projek kecil berimpak tinggi telah dilaksanakan di tiga wilayah pembangunan utama — Wilayah Barat, Wilayah Tengah dan Wilayah Timur Sabah — merangkumi 32 daerah dan daerah kecil. Menurut Hajiji, projek-projek tersebut menjadi intervensi bersasar untuk meningkatkan keterangkuman sosioekonomi, memperbaiki akses kemudahan asas serta merapatkan jurang pembangunan khususnya di luar bandar.

Beliau turut menyeru semua ketua jabatan untuk terus memperkukuh budaya prestasi tinggi dalam organisasi masing-masing. “Kejayaan agenda Sabah First menuntut komitmen kolektif, kepimpinan tegas dan kesediaan melaksanakan perubahan demi kepentingan rakyat dan negeri,” katanya. Dalam majlis sama, Ketua Menteri turut menyampaikan Sumbangan Kasih Ramadan kepada 16 pusat tahfiz dan pengajian Islam berdaftar.