KM Ketuai Majlis Ikrar Bebas Rasuah Ahli Jemaah Menteri

berita-sabahFeb 2026news
Hajiji mengetuai IBR dan Hajiji menyerahkan dokumen IBR Kepada Mohd Fuad

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengetuai Majlis Ikrar Bebas Rasuah (Corruption-Free Pledge, CFP) yang melibatkan Ahli Jemaah Menteri Negeri Sabah pada 25 Februari 2026 di Menara Kinabalu.

Sejurus selesai melafazkan ikrar, beliau bersama barisan Ahli Jemaah Menteri menandatangani dokumen Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai tanda komitmen terhadap integriti dan tadbir urus yang telus. Majlis berkenaan disaksikan oleh Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah.

Mohd Fuad berkata, pelaksanaan program IBR bersama Kabinet Negeri Sabah itu mencerminkan komitmen yang amat positif daripada kerajaan negeri dalam memperkukuh integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik.

Menurut beliau, inisiatif tersebut akan terus diperluaskan ke kementerian serta agensi di bawah kerajaan negeri bagi memastikan usaha pencegahan rasuah dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

“Pelaksanaan program ini sekali gus memperlihatkan kesungguhan serta keberkesanan inisiatif yang dirancang supaya amalan rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan dapat dibendung secara lebih sistematik,” katanya.

Beliau turut berharap lebih banyak kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pihak swasta, akan tampil menyertai program IBR sebagai usaha memperkukuh budaya integriti dalam pentadbiran dan sektor korporat.