RM32.31 Juta Perkukuh Pendigitalan Sabah
Kerajaan Negeri terus memperkasa agenda pendigitalan sebagai pemacu utama pertumbuhan, termasuk memperluas capaian ke kawasan luar bandar, meningkatkan keupayaan digital serta merangsang pembangunan ekonomi digital yang inklusif. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, memaklumkan bahawa sebanyak RM32.31 juta diperuntukkan kepada Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan tahun 2026. Daripada jumlah tersebut, RM9.59 juta disalurkan bagi memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Ini merangkumi penyediaan komputer dan rangkaian ICT kepada agensi kerajaan negeri, pengurusan pusat data, peningkatan keselamatan siber serta pembangunan aplikasi kerajaan.
Menurut beliau, menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), pendigitalan terus dijadikan teras utama pembangunan negeri. Penekanan diberikan kepada peluasan capaian digital luar bandar, pengukuhan keupayaan digital serta pembangunan ekonomi digital yang inklusif bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing. Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, sempena Majlis Pelancaran Identiti Korporat Baharu Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd pada 7 April 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.
Hajiji turut menegaskan bahawa kesalinghubungan digital kini menjadi elemen penting dalam menyokong komunikasi, memacu inovasi dan membuka peluang pertumbuhan merentasi pelbagai sektor. Justeru, pengukuhan infrastruktur digital adalah faktor kritikal dalam memastikan kemajuan Sabah, termasuk dalam pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030. Beliau menjelaskan bahawa SMJ 2.0 merupakan pelan strategik bagi meningkatkan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi negeri secara mampan serta inklusif. Ia juga merupakan kesinambungan kepada SMJ 1.0 yang sebelum ini memberi fokus kepada pemulihan pasca pandemik COVID-19, dan kini diperluas bagi menghadapi cabaran global seperti kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan perdagangan rentas sempadan.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan negeri dan pihak industri seperti Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd dalam merapatkan jurang digital serta mempercepat pembangunan ekosistem digital. Pembaharuan identiti korporat syarikat itu dilihat sebagai langkah ke hadapan dalam memainkan peranan sebagai penyedia infrastruktur dan rakan strategik pembangunan digital negeri. Sehingga kini, Celcom Timur Sabah telah membangunkan kira-kira 12,000 kilometer rangkaian gentian optik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, sekali gus menjadi tulang belakang kepada hubungan antara daerah serta menyokong keperluan industri, khususnya sektor telekomunikasi. Rangkaian ini membolehkan akses perkhidmatan digital diperluas, termasuk ke kawasan yang sebelum ini kurang liputan. Syarikat itu juga memainkan peranan penting dalam pelaksanaan inisiatif nasional seperti JENDELA, Point of Presence (POP2) dan rangkaian 5G, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai antara pemacu utama pembangunan digital dan daya saing Sabah.




