Totalenergies Minat Perkukuh Kehadiran Jangka Panjang di Sabah
Ketua Menteri Hajiji Noor menyatakan Sabah mengalu-alukan minat TotalEnergies untuk mewujudkan kehadiran jangka panjang di negeri ini, sekali gus memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab tenaga serantau. Beliau berkata Sabah memiliki potensi besar dalam penerokaan laut dalam yang masih belum diterokai sepenuhnya dan membuka ruang kepada kerjasama dengan pelabur berkeupayaan teknikal tinggi bagi memacu pembangunan sektor huluan secara mampan.
Perkara itu dinyatakan ketika pertemuan beliau dengan Pengarah Urusan TotalEnergies EP Malaysia, Jerome Saniez, di Menara Kinabalu pada 14 April 2026.
Dalam taklimatnya, TotalEnergies memaklumkan syarikat itu kini terlibat dalam penerokaan ultra laut dalam di perairan Sabah dengan pegangan 34.9 peratus bersama Petronas dan Shell. Syarikat itu juga terlibat dalam beberapa blok luar pesisir lain di Sabah serta memiliki kepentingan dalam aset gas utama di Sarawak.
Menurut Saniez, Sabah dilihat sebagai destinasi strategik seterusnya bagi TotalEnergies, didorong potensi luar pesisir yang besar, permintaan gas yang meningkat serta dasar mesra pelabur dengan sokongan kukuh kerajaan negeri dan Persekutuan.




