Hari Anzac: Pengorbanan Tawanan Perang dan Keberanian Rakyat Sabah Dikenang
Ketua Menteri Hajiji Noor berkata sambutan Hari Anzac bukan sahaja memperingati penderitaan dan pengorbanan tawanan perang semasa Perang Dunia Kedua, tetapi turut menghargai jasa penduduk tempatan Sabah yang membantu mereka dalam keadaan penuh risiko.
Beliau berkata hubungan antara rakyat Australia, United Kingdom dan Malaysia terbina bukan sahaja melalui konflik, tetapi juga melalui nilai kemanusiaan dan belas ihsan.
“Warisan mereka yang menderita di Sandakan tidak dapat dipisahkan daripada mereka yang membantu walaupun dalam tempoh yang singkat,” katanya pada Upacara Subuh Hari Anzac di Taman Peringatan Sandakan pada 25 April 2026.
Menurutnya, ribuan tawanan perang dari Australia dan Britain telah melalui penderitaan yang amat getir di kem-kem di Asia Tenggara, termasuk di Sandakan dan Ranau yang menjadi simbol kekejaman, kebuluran, buruh paksa serta perarakan maut yang meragut hampir semua nyawa tahanan.
Namun, katanya, di sebalik keperitan itu, penduduk kampung tempatan menunjukkan keberanian luar biasa dengan mempertaruhkan nyawa untuk membantu tawanan, walaupun berdepan hukuman berat termasuk kematian.
“Kita mengenang dengan penuh bangga keberanian mereka yang membantu dan melindungi tawanan sehingga ada yang berjaya diselamatkan,” katanya.
Hajiji berkata keberanian dan nilai kemanusiaan yang ditunjukkan penduduk tempatan menjadi lambang harapan, selain mengukuhkan ikatan sejarah dan persahabatan antara negara yang terlibat.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee.



