Perancangan menyeluruh majukan pelancongan, Ekonomi Biru Semporna
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, berkata perancangan menyeluruh termasuk penambahbaikan fasiliti perlu dilaksanakan bagi memperkukuh Semporna sebagai destinasi pelancongan utama serta hab Ekonomi Biru negeri. Beliau berkata Semporna memiliki tarikan bertaraf dunia seperti Pulau Sipadan selain beberapa pulau lain yang terkenal, di samping potensi besar dalam sektor perikanan dan sumber marin. Antara cadangan pembangunan termasuk meningkatkan kebersihan, menaik taraf jeti pulau dan kemudahan pelancongan lain bagi memastikan Semporna terus berkembang sebagai daerah pelancongan unggul.
Hajiji berkata sektor pelancongan Semporna mampu menjadi khazanah bernilai tinggi kepada Sabah dan Malaysia jika dipelihara dengan baik. Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan Ekonomi Biru di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 akan diteroka dalam tempoh lima tahun bagi meningkatkan hasil negeri dan pendapatan rakyat setempat. Lawatan beliau ke Semporna, Sandakan dan Lahad Datu sempena Program Tinjauan Keselamatan Eastern Sabah Safety Zone (ESS Zone) turut bertujuan meninjau tahap keselamatan di pulau-pulau pantai timur Sabah serta keadaan pos kawalan keselamatan. Dalam program itu, Hajiji turut melawat Pulau Sipadan, menerima taklimat daripada Sabah Parks dan menyempurnakan peletakan batu asas pos keselamatan di Pulau Ligitan.




