Kerajaan Negeri Perkasa Modal Insan Demi Ekonomi Masa Depan

berita-sabahJune 2026news
TYT Musa bersama Ewon; Ewon mewakili Ketua Menteri menyerahkan bantuan; dan Musa diiringi oleh Ewon melakukan perasmian Majlis.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Kerajaan Negeri komited memperkukuh pembangunan modal insan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri masa depan, termasuk kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau berkata pembangunan bakat tempatan merupakan keutamaan kerajaan bagi memastikan Sabah kekal berdaya saing serta mampu memanfaatkan peluang ekonomi dalam sektor strategik seperti minyak dan gas, ekonomi biru, pelancongan, pembuatan maju dan teknologi hijau.

Berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2026 di Kota Kinabalu pada 29 Jun 2026, Hajiji berkata TVET kini menjadi laluan utama melahirkan tenaga kerja mahir yang kompeten untuk memenuhi keperluan industri masa depan.

Beliau turut menegaskan kejayaan pembangunan negeri memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, majikan dan pekerja bagi mewujudkan hubungan perusahaan yang harmoni, meningkatkan produktiviti, menarik pelaburan serta memperkukuh keyakinan pelabur.

Katanya, kesatuan sekerja juga perlu terus memainkan peranan sebagai suara pekerja yang bertanggungjawab selain menjadi jambatan antara pekerja, majikan dan kerajaan dalam memastikan kebajikan pekerja terus dipelihara.

Pada majlis itu, Hajiji menyampaikan bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2026 berjumlah RM310,000 kepada 38 kesatuan sekerja di Sabah.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Datuk Ewon Benedick, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Negeri.