Pelan Pembangunan Pelancongan Sabah Dijangka Dimuktamadkan Menjelang Akhir 2026

berita-sabahJune 2026news

Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar sedang menyediakan Pelan Pembangunan Pelancongan Sabah yang bersifat komprehensif dan berorientasikan jangka panjang, yang dijangka dimuktamadkan sebelum penghujung tahun 2026, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Menurut beliau, pelan tersebut akan menjadi panduan baharu kepada pembangunan sektor pelancongan negeri dengan menetapkan hala tuju yang lebih jelas, memberi penekanan kepada aspek kemampanan, menangani cabaran semasa termasuk isu hubungan penerbangan, serta mencerminkan aspirasi masyarakat tempatan. Pelan itu juga akan menyediakan rangka kerja pembangunan yang lebih menyeluruh berbanding pelan induk terdahulu.

Beliau yakin pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan akan membantu Sabah mencapai sasaran empat juta pelawat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, selain memperkukuh persiapan bagi Tahun Melawat Sabah 2027. “Pada tahun 2025, Sabah merekodkan 3.79 juta ketibaan pelawat, meningkat 20.8 peratus berbanding tahun sebelumnya. Pencapaian ini telah menyumbang pendapatan sebanyak RM8.74 bilion kepada negeri serta mewujudkan hampir 400,000 peluang pekerjaan,” katanya ketika merasmikan Hilton Garden Inn Kota Kinabalu Tuaran di Kampung Pulau Simpangan, Kuala Matinggi, Tuaran pada 7 Jun 2026. Hajiji berkata pembukaan Hilton Garden Inn merupakan sebahagian daripada pelaburan berterusan yang lebih besar bernilai kira-kira RM500 juta, merangkumi pembangunan hotel tersebut serta projek-projek Hilton yang akan datang di Sabah.

Menurut beliau, pelaburan itu memperlihatkan keyakinan berterusan pelabur terhadap industri pelancongan dan hospitaliti negeri, sejajar dengan usaha kerajaan memperkukuh sektor berkenaan. “Pembangunan seperti ini menyokong teras utama strategi pelancongan Sabah melalui penyediaan penginapan premium dan mampan, penciptaan peluang pekerjaan berkualiti serta pembangunan kemahiran penduduk tempatan, pengukuhan perusahaan berasaskan komuniti menerusi rantaian bekalan, dan pelaksanaan amalan pelancongan yang menghormati alam sekitar,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa walaupun sektor pelancongan berdepan pelbagai faktor luaran yang mencabar, kerajaan melalui Kementerian Pelancongan terus memberi tumpuan kepada usaha mengimbangi pembangunan dan kemampanan, memperkukuh kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti, serta memanfaatkan teknologi digital bagi membina industri pelancongan yang lebih berdaya tahan dan bernilai tinggi. Katanya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dicapai tanpa mengabaikan pemeliharaan alam sekitar dan warisan budaya negeri. Hajiji turut menyatakan bahawa kehadiran jenama Hilton akan terus memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat serantau dan antarabangsa.

Beliau berkata pembukaan Sheraton Kota Kinabalu pada Mei 2026, selain pembangunan hotel-hotel antarabangsa lain seperti Avani, Fairfield by Marriott, Club Med, InterContinental dan Wyndham yang sedang dibina atau dirancang di Sabah, membuktikan negeri ini terus menjadi destinasi pilihan bagi pelaburan berkualiti dalam sektor pelancongan dan hospitaliti. “Ini menunjukkan keyakinan berterusan pemain industri terhadap potensi Sabah walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi dan cabaran global,” katanya. Ketua Menteri turut melahirkan rasa gembira kerana Hilton Garden Inn Kota Kinabalu dibangunkan di Tuaran, daerah kelahirannya yang kini berkembang pesat sebagai antara kawasan pembangunan penting di Sabah.

Menurut beliau, kedudukan strategik serta kekayaan sumber semula jadi yang dimiliki Tuaran memberikan potensi besar untuk terus berkembang sebagai hab pelancongan. Pembangunan hotel tersebut dijangka melengkapi tarikan sedia ada, menarik lebih ramai pelawat dan memberi manfaat kepada komuniti setempat, usahawan serta perniagaan tempatan. Beliau juga menyambut baik sumbangan hotel itu terhadap ekonomi daerah melalui penciptaan peluang pekerjaan, khususnya apabila sebahagian besar tenaga kerjanya terdiri daripada penduduk Tuaran sendiri. “Perkembangan ini amat positif kerana ia selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan masyarakat setempat menikmati manfaat langsung daripada setiap pelaburan yang dibawa ke kawasan mereka.

“Hilton Garden Inn mencerminkan visi bersama kita untuk membangunkan sektor pelancongan bernilai tinggi dan mampan yang bukan sahaja merancakkan ekonomi negeri, malah meningkatkan kesejahteraan komuniti tempatan,” katanya.