Kerajaan Negeri perkukuh pendidikan, TVET, STEM dan AI demi pembangunan modal insan
Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh agenda pembangunan pendidikan Sabah dengan memberi tumpuan kepada pemerkasaan modal insan, peluasan bantuan pendidikan serta pengukuhan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selain meningkatkan literasi kecerdasan buatan (AI). Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, usaha tersebut penting bagi memastikan setiap anak Sabah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira kaum dan latar belakang, sekali gus melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing. Menurut beliau, pembangunan modal insan akan terus menjadi keutamaan sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan dan memperkukuh masa depan Sabah.
“Kerajaan negeri akan terus memperkasakan bidang kemahiran dan pembangunan belia melalui peluasan biasiswa serta bantuan pendidikan. TVET, STEM, latihan pertanian, teknologi digital dan literasi AI merupakan antara bidang yang diberikan penekanan bagi memenuhi keperluan masa depan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) Kali Keempat Tahun 2026 anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada 11 Jun 2026. Hajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa komited menyokong usaha memperkasakan pendidikan melalui pelbagai inisiatif dan kerjasama strategik dengan JPNS serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Antara usaha yang dilaksanakan termasuk pembinaan dan naik taraf sekolah, penyediaan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), program motivasi murid luar bandar, bantuan biasiswa kepada pelajar kurang berkemampuan serta pelbagai intervensi pendidikan bagi meningkatkan pencapaian akademik dan pembentukan sahsiah pelajar. Beliau berkata, kerajaan negeri turut meneruskan pelbagai bantuan pendidikan termasuk biasiswa, dermasiswa dan 14 inisiatif bantuan pendidikan sedia ada. Antara bantuan yang disediakan ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer, Bantuan Khas Tunai Peperiksaan, Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA). Selain itu, Yayasan Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) turut menyediakan bantuan pendidikan yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat.
“Segala bantuan dan inisiatif yang disalurkan bertujuan membantu generasi muda mencapai potensi mereka serta menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri pada masa hadapan,” katanya. Dalam pada itu, Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidikan atas pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025. Beliau berkata, peningkatan prestasi berdasarkan Gred Purata Negeri (GPN) daripada 5.00 pada tahun 2024 kepada 4.85 pada tahun 2025 membuktikan komitmen dan dedikasi tinggi warga pendidik dalam meningkatkan mutu pendidikan di Sabah. “Pencapaian ini merupakan hasil kerjasama erat antara guru, ibu bapa dan semua pihak yang terlibat dalam sistem pendidikan. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pendidikan Sabah yang lebih gemilang pada masa hadapan,” katanya.
{quote} {quoter}
Beliau turut menegaskan bahawa guru merupakan tonggak utama pembangunan negara kerana peranan mereka bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan, malah membentuk akhlak serta nilai murni dalam kalangan generasi muda. Sehubungan itu, Hajiji menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik atas komitmen, keikhlasan dan dedikasi mereka dalam melaksanakan amanah mendidik anak bangsa.




