Kerajaan Sabah Komited Perkukuh Perpaduan dan Keharmonian Rakyat

berita-sabahJune 2026news

Kerajaan Negeri Sabah kekal komited memastikan perpaduan dan keharmonian terus menjadi asas utama pembangunan negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Beliau berkata kerajaan sentiasa menyokong program yang memupuk perpaduan dan mengeratkan hubungan antara rakyat pelbagai kaum serta latar belakang, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan, ihsan, hormat-menghormati dan kemampanan. Berucap pada Sambutan Minggu Perpaduan Kebangsaan di Kota Kinabalu, Hajiji berkata pemilihan Sabah sebagai tuan rumah program itu merupakan satu penghormatan dan pengiktirafan terhadap budaya keharmonian yang telah lama menjadi amalan masyarakat negeri ini.

Menurutnya, perpaduan yang sebenar memerlukan tindakan, komitmen berterusan, keikhlasan, saling menghormati serta keadilan sosioekonomi yang dapat dirasai oleh semua rakyat dan wilayah. Beliau turut mengajak rakyat Sabah untuk terus memelihara keharmonian, menghargai kepelbagaian kaum dan agama serta memperkukuh semangat muhibah yang menjadi identiti unik negeri ini. Katanya, melalui semangat kerjasama, kesepakatan sosial dan iltizam politik yang kukuh, agenda perpaduan dan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kemakmuran dan kesejahteraan generasi masa depan.