Rizab Biosfera Kinabatangan dan Banjaran Crocker Penting Untuk Sabah

berita-sabahJune 2026news

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata pengiktirafan Rizab Biosfera Kinabatangan oleh UNESCO merupakan satu pencapaian besar yang membanggakan Sabah dan Malaysia. Beliau berkata, status itu mengiktiraf kepentingan biodiversiti dan ekosistem Kinabatangan di peringkat antarabangsa, selain membuka peluang dalam penyelidikan, pendidikan, pelancongan alam semula jadi dan kerjasama global. Berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-12 Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan pemasyhuran Rizab Biosfera Kinabatangan di Kota Kinabalu pada 14 Jun 2026, beliau berkata kedua-dua rizab biosfera memainkan peranan penting dalam usaha pemuliharaan alam sekitar di Sabah.

Menurutnya, Rizab Biosfera Banjaran Crocker yang diiktiraf UNESCO pada 2014 turut memberi manfaat kepada lebih sejuta penduduk yang tinggal di hampir 400 kampung dalam 10 daerah. Hajiji berkata Kerajaan Negeri komited untuk terus memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti, meningkatkan kesedaran masyarakat dan memperluas kerjasama strategik bagi memastikan manfaat pengiktirafan itu dapat dinikmati secara mampan. Beliau berkata usaha tersebut selaras dengan pelaksanaan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang memberi tumpuan kepada konservasi ekosistem penting bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Menurutnya, hampir 30 peratus kawasan daratan Sabah kini diwartakan sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya, sekali gus mengukuhkan peranan negeri sebagai peneraju pemuliharaan alam sekitar. Beliau berkata Sabah juga merupakan penyerap karbon bersih utama negara, menyumbang kira-kira 36 peratus daripada jumlah pengasingan karbon Malaysia melalui kawasan hutan tropikanya. Hajiji menjelaskan Rizab Biosfera Banjaran Crocker melindungi ekosistem hutan dan sumber air, manakala Rizab Biosfera Kinabatangan memelihara ekosistem sungai dan tanah lembap yang penting untuk hidupan liar.

Selain melindungi alam sekitar, kedua-dua rizab biosfera itu turut membantu menjana ekonomi komuniti setempat melalui pelancongan mampan, homestay dan perusahaan berasaskan komuniti. Beliau berharap pengiktirafan tersebut akan terus membawa manfaat kepada alam sekitar, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat di kedua-dua kawasan rizab biosfera berkenaan.