SMJE Salur RM89.461 juta kepada Kerajaan Negeri
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyaksikan penyerahan sumbangan berjumlah RM89.461 juta oleh SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) kepada Kerajaan Negeri di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah pada 21 Julai 2026.
Daripada jumlah itu, RM50 juta merupakan pembayaran dividen bagi tahun kewangan berakhir 2025, manakala RM37.961 juta adalah Cukai Jualan Negeri (SST) bagi tahun sama. Sejak 2023, SMJE telah membayar dividen terkumpul sebanyak RM210 juta kepada Kerajaan Negeri.
SMJE turut menyumbang RM1 juta kepada Tabung Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah dan RM500,000 kepada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Hajiji berkata pembayaran dividen dan SST itu mencerminkan prestasi kewangan SMJE yang mampan serta kejayaan syarikat milik Kerajaan Negeri tersebut dalam meningkatkan penyertaan Sabah dalam sektor minyak dan gas.
Beliau berkata sumbangan CSR pula membuktikan komitmen SMJE dalam menyokong pembangunan modal insan dan kebajikan sosial rakyat Sabah. Setakat 31 Disember 2025, jumlah aset Kumpulan SMJE mencecah RM4.82 bilion, manakala syarikat merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM58.7 juta.




