Produk Sabah ke Pasaran Global

berita-sabahJuly 2026news

Gerakan Nasional Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA) diyakini mampu menjadi pemangkin kepada usaha membawa produk dan jenama keluaran Sabah ke pasaran antarabangsa, selaras dengan aspirasi “local to global” di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata JOM MALAYSIA bukan sekadar platform jualan dan promosi, sebaliknya gerakan strategik untuk memperkasa usahawan tempatan serta memperluas akses pasaran.

“SMJ 2.0 dan JOM MALAYSIA berkongsi matlamat yang sama iaitu memperkasa usahawan tempatan, meningkatkan nilai tambah produk dan perkhidmatan serta memperluaskan akses pasaran demi mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat. “Sinergi ini akan membina rantaian pembangunan yang lengkap, bermula daripada pemerkasaan usahawan, pembangunan produk sehingga kepada peluasan pasaran, selaras dengan aspirasi ‘local to global’,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival JOM MALAYSIA 2026 di Kompleks Sukan Sandakan, pada 25 Julai.

Beliau berkata potensi produk Sabah di peringkat antarabangsa terbukti apabila 124 usahawan IKS menyertai 18 ekspo perdagangan antarabangsa pada 2025 dan merekodkan potensi jualan RM95.9 juta, meningkat 37.12 peratus berbanding RM60.4 juta pada tahun sebelumnya.

Katanya, kerajaan Sabah turut memperkukuh ekosistem keusahawanan melalui Program Bantuan SME-UP dengan peruntukan RM15 juta bagi membangunkan 600 PMKS serta Program Sabah Ready-to-Eat (RTE) bagi membantu mengkomersialkan produk makanan tempatan.

Hajiji berkata sektor pelancongan turut memainkan peranan penting dalam mempromosikan produk dan identiti Sabah ke peringkat global, dengan negeri itu merekodkan 3.79 juta ketibaan pelawat dan hasil pelancongan RM8.74 bilion pada tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar penganjuran JOM MALAYSIA diperluas ke lebih banyak destinasi strategik di Sabah sempena Visit Sabah Year 2027 bagi meningkatkan peluang pasaran kepada usahawan tempatan.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Negeri, Datuk Ewon Benedick.