Perpaduan Asas Kestabilan Dan Kemajuan Negara
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyeru rakyat Sabah terus memperkukuh perpaduan, saling menghormati dan menyokong usaha pembangunan negara, sambil menegaskan perpaduan merupakan asas kepada kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Beliau berkata walaupun dunia berdepan konflik geopolitik, krisis ekonomi dan bencana kemanusiaan, Malaysia khususnya Sabah masih menikmati keamanan, keharmonian antara kaum dan agama serta ekonomi yang terus berkembang hasil usaha berterusan kerajaan.
Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif, pada Program Wacana Pemikir Peringkat Negeri Sabah di Wisma Muis, Kota Kinabalu.
Hajiji turut mengingatkan rakyat supaya berfikiran terbuka terhadap isu global, namun tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang boleh menjejaskan keharmonian negara. Beliau menyeru semua pihak terus bersatu, bekerjasama dan mendukung agenda Malaysia MADANI serta Sabah Maju Jaya.
Beliau turut memuji Program Wacana Pemikir sebagai platform penting untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai isu semasa dan geopolitik, serta berharap program seumpama itu diteruskan.




