Ciri-ciri Geologi, Biodiversiti dan Warisan Budaya Tuaran Bakal Dimasukkan dalam KUGGp

Aug 2026berita-sabahnews

Ekspedisi Saintifik Geo-Sulaman (EGOS 2025) yang dijalankan pada April 2025 mendapati Tuaran mempunyai ciri geologi yang unik, biodiversiti yang kaya, warisan budaya yang signifikan serta sokongan komuniti yang kukuh untuk dimasukkan dalam Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGp). KUGGp meliputi kawasan seluas 4,750 kilometer persegi merangkumi tiga daerah iaitu Kota Belud, Kota Marudu dan Ranau.

Status geopark itu kekal dalam senarai UNESCO susulan Misi Penilaian Semula UNESCO yang dijalankan oleh penilai, Dr Zhang Yuanhai dan Dr Atsuko Niina pada Ogos 2026. Semua UNESCO Global Geopark menjalani proses penilaian semula setiap empat tahun bagi mengekalkan pengiktirafan antarabangsa serta memastikan ia terus memenuhi piawaian, prinsip dan tanggungjawab UNESCO.

Sabah turut menggantikan Pelan Pengurusan Interim 2021–2025 dengan Pelan Pengurusan baharu 2026–2035 yang mengintegrasikan empat teras utama geopark iaitu pemuliharaan sumber, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan sosioekonomi.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata pelan baharu itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa, iaitu pembinaan asas, pecutan dan transformasi, berlandaskan sembilan tema strategik sehingga 2035. Beliau berkata KUGGp perlu memberi tumpuan kepada keperluan pembangunan tempatan dan memperkasakan kapasiti komuniti supaya pengiktirafan UNESCO dapat diterjemahkan kepada peluang ekonomi yang mampan.

“Pengiktirafan UNESCO bukan sekadar membawa prestij antarabangsa, tetapi mesti mewujudkan peluang yang bermakna dan mampan kepada komuniti melalui pelancongan bertanggungjawab dan geowisata, perusahaan berasaskan komuniti, pembangunan produk tempatan, pengalaman budaya, pendidikan, latihan kemahiran, pekerjaan serta penglibatan dalam membuat keputusan,” katanya pada majlis penutupan Misi Penilaian Semula KUGGp di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama, Lok Batik, Tuaran pada 14 Ogos 2026.

KUGGp turut memperluaskan programnya menerusi Program Jangkauan Geopark dan Kem Geopark, selain memperkukuh kerjasama dengan pemain industri, pengendali tapak, institusi pendidikan dan pihak berkepentingan melalui inisiatif Rakan Geopark dan Sekolah Geopark. Hajiji berkata pertumbuhan KUGGp perlu disokong dengan peluasan akses pasaran, pengukuhan keusahawanan tempatan dan penambahbaikan infrastruktur, dengan komuniti menjadi rakan aktif dalam membentuk pembangunan dan bukan sekadar penerima manfaat.

Beliau berkata menjelang 2035, Sabah menyasarkan KUGGp mendapat pengiktirafan global yang lebih kukuh sebagai model pengurusan landskap bersepadu yang mengimbangi pemuliharaan alam sekitar, kesejahteraan komuniti dan kemakmuran mampan. “Pendekatan ini selaras dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026–2030 yang bertujuan membentuk Sabah yang lebih berdaya saing, inklusif dan mampan, di samping memastikan pembangunan memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin.