Sabah Lancar Sistem Aplikasi Pintar TPNS
Kerajaan negeri terus memperluas akses bantuan pendidikan bagi memastikan pelajar dapat mengejar cita-cita dan masa depan yang lebih baik. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) telah menyalurkan RM40 juta bantuan pendidikan sejak dilancarkan pada Jun 2022, yang memberi manfaat kepada 27,781 pelajar.
Menurut beliau, dari Januari hingga Ogos 2026 sahaja, seramai 11,383 penerima mendapat bantuan berjumlah RM15.89 juta. “Kita perlu melahirkan generasi berilmu, berkemahiran, berintegriti dan mampu bersaing,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan TPNS dan pelancaran Sistem Aplikasi Pintar tpns di Menara Kinabalu, 25 September lalu.
Hajiji berkata, penubuhan tpns berteraskan tema “Peluang Tajaan untuk Semua” menjadi antara usaha penting dalam memperkukuh kemajuan pendidikan di Sabah. Pada majlis itu, seramai 362 penerima dari daerah Kota Kinabalu menerima bantuan berjumlah RM6.79 juta.
Dalam perkembangan berkaitan, Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (bkns) menyediakan peruntukan RM155 juta pada 2026 bagi membantu ribuan pelajar melanjutkan pengajian tinggi, khususnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (stem).
Peruntukan itu meningkat lebih tiga kali ganda berbanding RM50 juta pada 2020. Antara 2021 hingga 2025, kerajaan negeri turut melaksanakan 14 inisiatif berkaitan pendidikan, termasuk bantuan tunai pendaftaran ipt (budi), bantuan ihsan komputer (baik) serta bantuan tiket penerbangan untuk pelajar Sabah di semenanjung, Sarawak dan Labuan.
Portal Tajaan Pendidikan Sabah (ptps) yang dilancarkan pada Julai 2024 pula berfungsi sebagai platform sehenti yang mengintegrasikan lima agensi utama penajaan dan bantuan pendidikan. Pelancaran Sistem Aplikasi Pintar tpns dijangka memperkukuh lagi sistem bersepadu itu dengan membolehkan pelajar membuat permohonan secara dalam talian serta menyemak status permohonan secara masa nyata, sekali gus memudahkan dan mempercepatkan urusan bantuan pendidikan.




