Tanggungjawab Terhadap Saudara Baharu Melebihi Sekadar Syahadah

berita-sabahnewsSeptember 2026

Tanggungjawab terhadap saudara baharu bukan berakhir selepas lafaz syahadah, sebaliknya memerlukan bimbingan, perhatian, kasih sayang dan sokongan yang berterusan, termasuk dari aspek kerohanian dan kebajikan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, saudara baharu perlu dibimbing untuk memahami Islam bukan sekadar sebagai penerima ajaran, tetapi akhirnya mampu menjadi penyumbang kepada masyarakat dan membimbing orang lain.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Ijtima' Amal Islami Mualaf Madani (IJMAM) 2026 peringkat kebangsaan pada 5 September 2026 di Dewan Bangkuasi, Dewan Undangan Negeri Sabah, Kota Kinabalu.

Menurut beliau, ajaran Islam perlu dizahirkan melalui akhlak yang baik dan diterjemahkan dalam bentuk amalan yang mampu membentuk masyarakat yang aman, penyayang, saling menghormati dan membantu antara satu sama lain.

Hajiji turut menyifatkan IJMAM sebagai platform penting untuk memperkukuh kefahaman Islam, mencungkil bakat, meningkatkan keyakinan diri, membentuk jati diri serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan saudara baharu.

Dalam konteks Sabah yang kaya dengan kepelbagaian etnik, budaya, bahasa dan agama, beliau menegaskan bahawa usaha dakwah perlu dilaksanakan dengan penuh hikmah, kasih sayang, kesederhanaan serta menghormati kepelbagaian masyarakat.

Beliau turut menyeru peserta IJMAM, khususnya saudara baharu, agar meneruskan semangat program tersebut dalam keluarga dan komuniti dengan menjadi individu yang bukan sahaja menerima bimbingan, tetapi mampu membimbing orang lain, menjadi pendakwah, pemimpin dan sumber inspirasi.

Tema IJMAM tahun ini ialah “Memperkasa Saudara Baharu, Memperkukuh Ummah.”