Pasar Besar Kota Kinabalu Bakal Dipindahkan
Pasar Besar Kota Kinabalu (KK Central Market) akan dipindahkan keluar dari pusat bandar bagi mewujudkan hab pasar bersepadu yang lebih besar dan lengkap. Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor meninjau dua lokasi yang dicadangkan bagi pasar baharu itu, masing-masing di Alam Mesra dan Jalan Tun Fuad Stephens, pada 14 September 2026.
Lokasi di Jalan UMS, Alam Mesra melibatkan tanah kerajaan negeri seluas 40 ekar, manakala satu lagi terletak di atas tanah komersial bercampur milik Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan berhampiran Kampung Likas, bersebelahan Anjung Selera.
Hajiji berkata, Hab Pasar Bersepadu Kota Kinabalu yang dicadangkan akan dibangunkan lebih besar dan baik serta dilengkapi pelbagai kemudahan. Hab berkenaan antara lain merangkumi pasar kering, pasar basah, pusat kebudayaan serta produk tempatan dan pelancongan, pusat penjaja dan jeti ikan.
Beliau berkata, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan menyediakan kertas kerja untuk dibincangkan di peringkat Kabinet Negeri. “Selepas pasar dipindahkan, Datuk Bandar akan mengemukakan cadangan pembangunan bagi tapak sedia ada Pasar Besar Kota Kinabalu,” katanya.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Sabin Samitah memberi taklimat kepada Hajiji sepanjang lawatan tersebut. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman serta Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai dan Datuk Ceasar Mandela Malakun.




