Kolej Perkasa Pelajar Dengan Kemahiran AI

berita-sabahnewsSeptember 2026

Kolej Kemahiran Islam Sabah (KKIS) di Pusat Latihan Dakwah USIA-AlBukhary, Kampung Marasinsim, Kota Marudu, muncul sebagai satu lagi platform pendidikan baharu dalam bidang latihan kemahiran di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, penubuhan kolej berkenaan mampu memperkukuh pembangunan modal insan serta memperkasa masyarakat Islam di Sabah.

Katanya, KKIS membuka peluang kepada pelajar dari institusi pondok, sekolah tahfiz dan institusi pendidikan Islam untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berasaskan kemahiran. Beliau berkata demikian ketika merasmikan KKIS di Pusat Latihan Dakwah USIA-AlBukhary, Kota Marudu pada 22 September 2026.

Menurut Hajiji, pelajar tahfiz sememangnya mempunyai asas kukuh dalam ilmu agama, al-Quran dan nilai moral, namun mereka juga perlu dilengkapi dengan kemahiran teknikal bagi memperluas peluang pendidikan dan kerjaya. “Golongan ini perlu mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI),” katanya. Hajiji turut menyatakan bahawa kerjasama strategik antara Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR) boleh terus diperkukuh bagi memberi nilai tambah kepada kemahiran belia Islam.

Katanya, kerjasama itu akan membantu melahirkan generasi muda yang mempunyai asas agama yang kukuh, berkemahiran serta mampu bersaing dalam pasaran pekerjaan.

Beliau berharap KKIS terus memperluas program kemahiran, memperkukuh kerjasama dengan industri serta meningkatkan penguasaan AI dan teknologi digital bagi melahirkan graduan yang berpegang teguh pada nilai agama, berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Haji Mohd Arifin Mohd Arif.