Sabah Hampir Capai Sasaran Empat Juta Pelawat

berita-sabahnewsSeptember 2026
Hajiji menandatangani plak sempena perasmian rasmi resort. Turut menyaksikan ialah Datuk Johnny Wong (kiri), Pengarah Urusan Kumpulan dan Luke Benbow (kanan), Pengarah Operasi, Wyndham Hotels & Resorts Asia Pacific.

Sabah berada pada landasan untuk mencapai sasaran empat juta pelawat pada 2026, dengan 2.6 juta pelawat direkodkan sehingga Ogos lalu, terdiri daripada 1.1 juta pelawat antarabangsa dan 1.5 juta pelawat domestik.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, keindahan pulau dan pantai, hutan hujan, gunung, hidupan liar, budaya serta makanan tempatan menjadi antara tarikan utama Sabah.

Menurut beliau, Blueprint Pelancongan Sabah akan menetapkan hala tuju yang lebih jelas, termasuk menangani isu hubungan penerbangan, memelihara alam sekitar serta memperluas penglibatan masyarakat dan pemain tempatan.


“Kita memerlukan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta untuk menjayakan usaha ini. Dengan pengurusan profesional dan pemasaran berkesan, kita dapat menggabungkan kekuatan masing-masing,” katanya ketika merasmikan JSK Mantanani Island Resort, Kota Belud pada 29 September 2026.


Resort bernilai RM160 juta itu terletak di perairan Kota Belud dan menawarkan 84 vila serta kemudahan mesra alam. Ia turut bekerjasama dengan Wyndham Hotels & Resorts, jenama hospitaliti bertaraf antarabangsa. Hajiji berkata, pembangunan sektor pelancongan turut membuka peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran serta memberi ruang kepada usahawan, pembekal, pengusaha pengangkutan dan perniagaan tempatan, selaras dengan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Sabah turut memperkemas strategi bagi memperkukuh daya tarikan pelancongan negeri sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Sabah 2027.