Pendidikan al-Quran Bentuk Modal Insan Berkualiti

berita-sabahnewsOctober 2026

Pendidikan al-Quran memainkan peranan penting dalam membentuk ilmu, jati diri, sahsiah dan keimanan generasi muda. Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata institusi pendidikan Islam termasuk sekolah agama, sekolah pondok dan pusat tahfiz menjadi landasan penting dalam membina perkembangan rohani serta pendidikan seimbang dalam kalangan generasi muda.

Katanya, pendidikan tahfiz kini bukan sahaja memberi penekanan kepada hafazan al-Quran dan ilmu agama, malah turut merangkumi bidang akademik, teknologi, komunikasi, kepimpinan, keusahawanan serta pendidikan teknikal dan vokasional.

“Melalui pendekatan ini, kita dapat melahirkan generasi yang menguasai hafazan al-Quran, cemerlang dalam akademik dan mempunyai kemahiran yang diperlukan,” katanya ketika merasmikan bangunan Pejabat Wilayah Sabah dan Sarawak Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah (MTS) di Taman Sulaman, Kota Kinabalu pada 4 Oktober 2026.

Menurut Hajiji, pendidikan berteraskan al-Quran mampu melahirkan bukan sahaja imam, pendakwah dan pendidik, tetapi juga pemimpin, profesional, usahawan serta anggota masyarakat yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Beliau turut menegaskan institusi tahfiz perlu mengamalkan tadbir urus yang telus dan profesional serta mematuhi peraturan berkaitan keselamatan bangunan, pencegahan kebakaran, kesihatan, kebersihan dan kelayakan tenaga pengajar. Pada masa sama, institusi pendidikan agama perlu menerapkan nilai kesederhanaan, kasih sayang, toleransi dan sikap saling menghormati dalam masyarakat Sabah yang berbilang kaum dan agama.

Hajiji berkata institusi pendidikan agama juga perlu memperluas jaringan kerjasama bagi membuka lebih banyak laluan pendidikan dan kerjaya kepada pelajar, selaras dengan usaha Kerajaan Negeri melahirkan modal insan yang berkualiti, berprinsip dan berdaya saing.

Ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Haji Aliasnih.