BICBEEM Perkukuh Kerjasama Akademik dan Industri di Borneo
Enam institusi bekerjasama menganjurkan Persidangan Antarabangsa Borneo mengenai Perniagaan, Pendidikan, Ekonomi dan Pengurusan (BICBEEM) buat julung kalinya di Hotel Raia, Kota Kinabalu pada 7 Oktober 2026.
Institusi terlibat ialah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), North Borneo University College (NBUC), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB).
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata penganjuran persidangan itu merupakan langkah bermakna dalam memperkukuh ekosistem ilmu serta jaringan kerjasama antara kerajaan, institusi pengajian tinggi, industri dan masyarakat.
Katanya, BICBEEM berperanan sebagai platform pertukaran idea dan pandangan, selain memperluas kerjasama antara penyelidik, pengamal industri dan institusi pengajian tinggi. Beliau turut menyifatkan Sabah dan Borneo berpotensi menjadi makmal hidup bagi penyelidikan yang bukan sahaja mempunyai nilai akademik, malah mampu memberikan impak ekonomi.
Menurut Hajiji, antara bidang yang berpotensi diterokai melalui penyelidikan bersama termasuk pembangunan ekonomi luar bandar, transformasi digital, keusahawanan belia, pertanian pintar, pelancongan berasaskan komuniti, kelestarian alam sekitar serta pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Usaha itu juga mampu menyumbang kepada peningkatan daya saing ekonomi tempatan melalui perkongsian ilmu, kepakaran dan inovasi.
Ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.




