Sabah Perkasa Pertanian dan Perikanan Menerusi Lima Pendekatan Utama

berita-sabahnewsOctober 2026

Sabah akan memberi tumpuan kepada lima pendekatan utama dalam sektor pertanian dan perikanan, meliputi penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan asas, penggunaan teknologi moden, pengukuhan akses pasaran dan rantaian bekalan serta peningkatan daya tahan terhadap perubahan iklim dan risiko pengeluaran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata Sabah perlu terus memperkukuh keupayaan pengeluaran makanan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan luar serta melindungi negeri daripada ketidaktentuan bekalan dan harga. Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sabah 2026 di Tenom pada 24 Oktober 2026.

Menurutnya, perubahan perlu dilaksanakan secara berani menerusi penerapan teknologi, pengukuhan infrastruktur, pembangunan modal insan, peluasan akses pasaran serta peningkatan nilai hasil pertanian.

Sabah turut meningkatkan sasaran kadar sara diri (SSR) bagi padi dan beras daripada 22 peratus kepada 40 peratus menjelang 2030. Kerajaan juga berhasrat meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran, buah-buahan, daging, telur, ikan dan pelbagai produk makanan lain yang mendapat permintaan tinggi.

Hala Tuju Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 meletakkan sektor pertanian sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri, dengan penekanan terhadap peralihan daripada kaedah tradisional kepada sistem pengeluaran yang lebih moden, cekap, produktif dan berorientasikan pasaran.

Hajiji berkata sektor penternakan dan perikanan juga perlu diperkasakan melalui peningkatan kualiti pembiakan ternakan, penambahbaikan kemudahan pendaratan ikan serta peluasan industri pemprosesan dan pemasaran hasil laut.

Beliau turut menggalakkan golongan belia menceburi industri agromakanan yang mempunyai potensi besar untuk menjana kekayaan baharu, mewujudkan peluang pekerjaan dan merancakkan ekonomi luar bandar.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun.