SEDIA Dan KVLD Perkasa Sektor Agromakanan Menerusi Latihan Kemahiran
Kerajaan Negeri terus memperkasa golongan belia dalam pelbagai sektor ekonomi, termasuk agromakanan, menerusi peningkatan kemahiran tenaga kerja bagi memenuhi keperluan industri serta membuka peluang menjana pendapatan. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata sektor agromakanan penting dalam menjamin keselamatan makanan, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan program SEDIA AgroFoodPakar anjuran Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) sempena Karnival Agro TVET MADANI 2026 di Dewan Palma, Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD), pada 24 Oktober 2026.
Program AgroFoodPakar menyasarkan penyertaan 80 peserta bagi membantu mereka memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam lapan bidang pertanian dan agromakanan melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) dengan Penilaian Amali (PPA) di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
SEDIA membiayai program selama dua hari itu yang merangkumi lapan bidang, iaitu penyeliaan ladang ruminan, operasi makmal bioteknologi pertanian, penyeliaan akuakultur air tawar, operasi ladang ternakan unggas, pengendalian jentera pertanian perladangan, penyeliaan pembinaan landskap, operasi pengeluaran tanaman dan pemprosesan makanan.
Selain itu, SEDIA dan KVLD turut bekerjasama melaksanakan Program Penanaman Halia IPR-INTAN dengan sokongan Kementerian Ekonomi, yang menyasarkan 30 peserta daripada kumpulan berpendapatan rendah B40, termasuk pelajar dan ibu bapa, untuk memperoleh pendapatan RM2,000 seorang sebulan.
Menerusi program itu, setiap peserta akan menerima 1,000 anak benih halia untuk ditanam di kawasan seluas tiga ekar di KVLD. Kedua-dua pihak turut menyelaras Program Penanaman Kelapa di kawasan seluas 10 ekar di KVLD, melibatkan 1,000 anak benih kelapa pandan dan Tacunan.
Inisiatif itu bertujuan memperkenalkan teknologi dan amalan pertanian moden kepada peserta, selain meneroka peluang pendapatan alternatif menerusi penghasilan produk kelapa dan aktiviti pemprosesan hiliran.
Hajiji yang juga Pengerusi SEDIA berkata pembangunan sektor pertanian perlu selari dengan Pelan Hala Tuju Koridor Pembangunan Sabah (SDC) 2.0 yang menekankan pertumbuhan ekonomi berdaya saing, inklusif dan mampan. “Haluan ini perlu diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti, penyertaan masyarakat yang lebih luas dalam aktiviti ekonomi serta pengurusan sumber secara bertanggungjawab, selaras dengan tema TVET Sabah, ‘Memperkasa Pertanian, Memajukan TVET MADANI’,” katanya.




