Hajiji Rasmikan Program MADANI Kita dan Hadiri Tiga Acara di Beaufort
Kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada tiga strategi utama dalam membanteras penyalahgunaan dadah, iaitu memperkukuh peranan keluarga dan komuniti, meningkatkan penguatkuasaan serta kerjasama bersepadu antara agensi, selain memperluas akses kepada rawatan, pemulihan dan peluang pekerjaan kepada bekas penagih.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, usaha memerangi dadah perlu diteruskan berikutan ancaman yang semakin berkembang, khususnya melibatkan dadah sintetik seperti Amphetamine-Type Stimulants (ATS), New Psychoactive Substances (NPS) dan opioid sintetik seperti fentanyl.
Dalam tempoh enam bulan pertama 2026, seramai 5,269 individu direkodkan sebagai penagih dan penyalah guna dadah di Sabah, menurun 0.02 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Di peringkat nasional, jumlah itu turut menurun 3.4 peratus kepada 130,307 individu. Hajiji berkata demikian ketika merasmikan Program MADANI Kita 2026 dan majlis penutupan Pesta Bagandang Beaufort di Dataran Bagandang pada 1 November 2026.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelbagai inisiatif dilaksanakan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), termasuk Program Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD), Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD), SKUAD Antidadah dan Ops Cegah Khas. Peruntukan RM2.3 juta pada 2026 turut memperkukuh usaha pencegahan melalui program TEKAD sektor awam dan pemerkasaan SKUAD Antidadah. Menurut beliau, individu yang berusaha pulih daripada ketagihan perlu diberi bimbingan, sokongan dan peluang kedua untuk kembali menjalani kehidupan produktif.
Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata Pesta Seni Bagandang berpotensi menjadi platform mempromosikan Beaufort sebagai destinasi pelancongan menjelang Tahun Melawat Sabah 2027, selain membuka peluang perniagaan kepada usahawan tempatan. Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan 247 geran hak milik tanah melibatkan keluasan keseluruhan 889.21 ekar kepada penduduk kampung.




