Pusat Kraftangan Sabah Laksana 1,066 Program Bernilai RM47.2 Juta Sejak 2011

berita-sabahnewsNov 2026

Pusat Kraftangan Sabah (PKS) telah melaksanakan sebanyak 1,066 program dengan peruntukan keseluruhan RM47.2 juta, yang memberi manfaat kepada 22,038 peserta sepanjang tempoh 2011 hingga 2026.Bagi 2026, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan 29 program yang melibatkan 200 peserta. Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, industri kraftangan telah membuka peluang ekonomi kepada rakyat, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan dan pembangunan ekonomi komuniti.

“Pendidikan, latihan, bimbingan, keusahawanan dan akses pasaran perlu saling melengkapi supaya kemahiran yang diperoleh dapat diterjemahkan kepada penghasilan produk, perniagaan, pendapatan dan pembangunan ekonomi komuniti,” katanya.Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi dan Penutupan Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada 11 November 2026.

Menurut Hajiji, perkembangan industri kraftangan Sabah menunjukkan kemajuan menggalakkan menerusi pelbagai kerjasama strategik, termasuk pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Sabah dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bagi menyokong pembangunan industri berkenaan.

Selain itu, Yayasan Sabah turut menerima Surat Hasrat (LOI) daripada Politeknik Kota Kinabalu, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia bagi Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG) dan Sugee Group Sdn Bhd.

Produk batik dan cetakan digital PKS turut mendapat pendedahan menerusi penyertaan dalam pertunjukan fesyen KPDN Presents: Fashion Forward Batik Malaysia sempena Kuala Lumpur Fashion Week 2026.

Penglibatan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) dalam PKAN turut menyumbang kepada usaha memperkasa pendidikan, kemahiran dan keusahawanan masyarakat. Bagi tempoh 2016 hingga 2026, KTYS melaksanakan 93 program dengan peruntukan RM15.01 juta, melibatkan 1,936 peserta.

Antara inisiatifnya ialah Program Gerak Cemerlang SPM (GeCerSPM) yang memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi pelajar dalam mata pelajaran kritikal Matematik dan Sains. Program itu berjaya meningkatkan kadar kelulusan daripada 35 peratus kepada 98 peratus dalam peperiksaan SPM 2025. Susulan kejayaan tersebut, penyertaannya diperluas daripada tiga sekolah melibatkan 200 pelajar kepada enam sekolah dengan 300 pelajar pada 2026.

KTYS turut melaksanakan Program Gerak Ekonomi Makanan Inovasi Laut (GEMILAU) bagi memperkasa ekonomi komuniti rentan melalui kemahiran pemprosesan hasil laut. Daripada 89 peserta, seramai 43 orang berjaya meningkatkan pendapatan. Sementara itu, UCSF melaksanakan program Eksplorasi dan Pemerkasaan Teknologi, Kesenian dan Keusahawanan (ExPERTISE) dengan peruntukan RM750,000 bagi 11 program yang memberi manfaat kepada 314 peserta, terdiri daripada golongan belia dan masyarakat anak negeri.

UCSF turut bekerjasama dengan Institut Jantung Negara University College (IJNUC) menerusi Program Sijil Pembantu Penjagaan Pesakit (PCA) pada 2026. Seramai 13 pelajar berjaya memperoleh penempatan latihan praktikal selama tiga bulan di Institut Jantung Negara (IJN) dan klinik swasta di Sabah.

Selain itu, program BRIDGE (Building Resources, Inclusivity, Development and Growth in Communities) dilaksanakan menerusi sembilan program merangkumi bidang seni dan kraftangan, pelancongan dan hospitaliti, kecerdasan buatan (AI), sains dan teknologi serta pertanian.

Program jangkauan komuniti itu melibatkan 292 peserta dari pelbagai daerah di Sabah. Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, UCSF telah melaksanakan 85 program dengan peruntukan keseluruhan RM11.7 juta, yang memberi manfaat kepada 1,842 peserta sepanjang tempoh 2015 hingga 2025.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr. Haji Mohd Arifin bin Datuk Haji Mohd Arif.