Kerajaan Negeri Komited Memperkasa Golongan Wanita

berita-sabahnewsNov 2026

Kerajaan negeri terus komited memperkasa golongan wanita dan suri rumah dalam aspek ekonomi, sosial serta kepimpinan bagi memastikan mereka terus memainkan peranan penting dalam pembangunan Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk bantuan menerusi Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) bagi meringankan beban kewangan golongan B40, keluarga berpendapatan rendah dan suri rumah. Menurut beliau, daripada kira-kira 10,000 penerima SYUKUR di Tuaran, lebih 3,000 daripadanya adalah dari kawasan Sulaman.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan bantuan peralatan dapur kepada suri rumah di kawasan DUN Sulaman pada 15 November 2026 di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah, Kampung Lok Batik, Tuaran. Hajiji turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri menyediakan bantuan bulanan RM200 kepada 140,000 golongan kurang berkemampuan pada 2026, berbanding kira-kira 20,000 penerima bantuan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan pada masa lalu yang kini meningkat kepada 70,000 dalam tempoh lima tahun.

Katanya, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM500,000 setiap tahun bagi program wanita dan RM500,000 bagi golongan belia di kawasan Sulaman, termasuk inisiatif bantuan peralatan dapur. Beliau turut menghargai sokongan golongan wanita yang disifatkan memainkan peranan penting dalam pembangunan dan kepimpinan masyarakat, selain mewakili separuh daripada jumlah pengundi di Sulaman.