Sabah Perkukuh Bekalan Elektrik Mampan dan Boleh Dipercayai

berita-sabahnewsNov 2026
Datuk Ceasar ketika mengadakan lawatan ke kilang Teck Guan Cocoa Embassy dan ladang solar berkapasiti 15MW.

Kerajaan negeri komited memastikan rakyat Sabah mendapat bekalan elektrik yang stabil, mampu milik dan mampan, termasuk penduduk di kawasan luar bandar menerusi pembangunan tenaga solar serta penambahbaikan infrastruktur elektrik. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, penggunaan tenaga boleh baharu perlu menyumbang secara berkesan kepada keselamatan tenaga negeri, selaras dengan usaha mempelbagaikan sumber bekalan elektrik.

Beliau berkata demikian dalam lawatan rasmi ke projek LSS Kolombong and Showcase di Teck Guan Cocoa Embassy, Kota Kinabalu pada 19 November 2026. Ucapan beliau disampaikan oleh Penolong Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun. Projek LSS Kolombong merupakan kemudahan solar berskala besar pertama di Sabah yang mula beroperasi secara komersial di bawah seliaan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

Loji solar berkapasiti 15 megawatt arus ulang-alik (MWac) itu mula beroperasi pada Oktober 2026 dan mampu membekalkan 37 gigawatt-jam (GWh) tenaga elektrik bersih setahun kepada grid Sabah, mencukupi untuk kira-kira 9,000 rumah. Hajiji berkata, menerusi Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040), kerajaan negeri menyasarkan tenaga boleh baharu menyumbang 50 peratus daripada kapasiti penjanaan elektrik menjelang 2035, berbanding 17 peratus ketika ini dan dijangka meningkat kepada kira-kira 30 peratus menjelang 2030.

Beliau turut menggalakkan pemilik rumah dan sektor perniagaan memanfaatkan program Solar Rakyat Sabah dan SELCO-PV Sabah 2.0 bagi menjana tenaga solar sendiri serta mengurangkan kebergantungan kepada bekalan elektrik konvensional.