Perancangan dan Pelaksanaan Sumber Ekonomi Baharu untuk Sabah

berita-sabahMarch 2024news
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Ketua Pegawai Eksekutif Sedia Datuk Seri Panglima Hashim Paijan serta pegawai-pegawai lain di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah, Tuaran.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah mengarahkan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (Sabah Economic Development and Investment Authority atau SEDIA) untuk berkolaborasi dengan agensi strategik kerajaan dan sektor swasta bagi membangunkan sumber ekonomi baharu bagi Sabah. Beliau menyuarakan usaha dan matlamat ini semasa mempengerusikan mesyuarat SEDIA di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah di Lok Batik, Tuaran pada 28 Mac 2024.

Menurut Beliau, Sabah perlu melangkah ke hadapan untuk tidak bergantung secara eksklusif kepada sumber ekonomi tradisional seperti kelapa sawit, minyak dan gas, serta getah. Bagi mencapai matlamat ini, beliau menekankan kepentingan memanfaatkan sepenuhnya aktiviti penyelidikan, pembangunan, dan pengkomersilan.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), eksport utama Sabah adalah melalui sumber asli seperti petroleum mentah, minyak kelapa sawit, dan gas asli cecair. Dengan itu, beliau mencadangkan peningkatan pengeluaran barangan bukan komoditi yang mempunyai potensi tinggi untuk diekspot.

Selain itu, beliau berkata pusat-pusat kajian dan penyelidikan memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan pengetahuan, inovasi, dan penghasilan produk bernilai tinggi yang boleh didagangkan. Antara kajian-kajian tersebut ialah

• Pembangunan Semula Pelancongan di Mesilau;

• Pembangunan Semula Pusat Air Panas Poring, Ranau;

• SDC-Kajian Pembangunan Ekonomi di Sempadan Sabah;

• SDC-Kajian Pelan Induk Ekonomi dan Perancangan Perniagaan POIC Sandakan;

• SDC-Kajian Pelan Induk dan Pelan Perniagaan untuk Zon Ekonomi Bebas, Hab Logistik dan Depot Penyimpanan Sejuk di POIC Lahad Datu, dan

• Kajian Pelan Induk Lembah Makanan di Pedalaman Sabah.

Dalam usaha meningkatkan keberkesanan kajian-kajian tersebut, Hajiji menggesa agar hasil penyelidikan SEDIA dapat digunakan secara optimum oleh pelbagai pihak sebagai asas untuk mencadangkan projek pembangunan dan rujukan kepada pelabur tempatan dan juga antarabangsa.