Sektor Tenaga Peranan Penting Dalam Pembangunan Ekonomi Sabah
Sektor tenaga akan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi masa depan Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Dengan pelancaran Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (Sabah Energy RAMP 2040), ia bertujuan untuk merangka hala tuju dan menggariskan keutamaan utama untuk sektor tenaga negeri. "Dengan ini, Sabah akan dapat membangunkan sepenuhnya sektor tenaga hijau, dengan potensi untuk memberikan sehingga 75 peratus bekalan tenaga hijau negara katanya pada Persidangan Tenaga Boleh Diperbaharui Sabah 2025: Koridor untuk Mengubah Visi kepada Realiti (SAREC 2025) di Shangri-La Tanjung Aru Resort pada 24hb April 2025.
Tambahan itu, Ketua Menteri mengulangi bahawa Kerajaan Negeri telah mengenalpasti satu sektor ekonomi baharu - Ekonomi Biru - yang melibatkan eksplorasi lestari sumber marin dan pesisir Sabah. Enakmen Penukaran Tenaga Terma Laut (OTEC) 2024 telah diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri Sabah pada April 2024 yang membuka jalan bagi pembangunan OTEC sebagai satu sumber tenaga boleh diperbaharui dan juga sebagai salah satu inisiatif di bawah Ekonomi Biru. Dengan itu, Kerajaan Negeri akan sedia berkolaborasi dengan semua pihak berkepentingan untuk menyatukan usaha, bertukar idea dan meneroka penyelesaian.
