Tahap Keselamatan Pantai Timur Sabah Kekal Tertinggi
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa tahap keselamatan di kawasan pantai timur Sabah kekal berada pada tahap tertinggi tanpa sebarang insiden tidak diingini sejak beberapa tahun lalu. Penegasan itu dibuat semasa menerima kunjungan hormat Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim di Menara Kinabalu.
Menurut Hajiji, jaminan keselamatan ini penting dalam memperkukuh keyakinan pelabur dan pelancong antarabangsa terhadap Sabah, khususnya dari pasaran Eropah.

Dalam pertemuan itu, beliau turut menyatakan kegembiraannya terhadap peningkatan ketibaan pelancong dari Perancis, yang kini merupakan pasaran ketiga terbesar dari Eropah ke Sabah selepas United Kingdom dan Jerman. Bagi suku pertama 2025, seramai 2,116 pelancong Perancis direkodkan berkunjung ke Sabah — meningkat 26.8% berbanding 1,669 orang pada tempoh sama tahun lalu.
Hajiji percaya promosi berterusan yang lebih berfokus dan berimpak tinggi mampu meningkatkan lagi ketibaan pelancong dari Perancis. Beliau dan Datuk Eldeen turut membincangkan peluang kerjasama strategik antara Sabah dan Perancis dalam pelbagai sektor, khususnya pelancongan.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai; Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit; serta wakil Tourism Malaysia termasuk Pengarah Promosi Antarabangsa, Akbal Setia dan Pengarah Tourism Malaysia Paris, Zalina Ahmad.