Ranau Kini Dapat Bandar Baharu
Ketua Menteri dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menegaskan bahawa majlis tertinggi GRS telah bersetuju untuk mengekalkan formula kerjasama sedia ada dengan Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya negeri yang akan datang. Beliau menekankan bahawa sejarah membuktikan kerajaan negeri memerlukan hubungan yang kukuh dengan Kerajaan Persekutuan.
“Kita mahu hubungan erat dengan Kerajaan Persekutuan demi kestabilan dan kemakmuran rakyat. Kita berharap rakyat memahami bahawa usaha ini adalah untuk kebaikan mereka,” kata beliau pada majlis pecah tanah Projek Bandar Baharu Paginatan, Ranau, pada 12 Ogos 2025 di Dewan Terbuka Memorial Nunuk Ragang.

Hajiji menegaskan bahawa rekod pencapaian GRS-PH jelas menunjukkan kemajuan negeri. “Terdapat lebih 400 inisiatif di bawah agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya, dan kira-kira 94 peratus daripadanya telah berjaya dilaksanakan,” ujarnya. Beliau juga menafikan dakwaan pembangkang yang menurutnya bertujuan menipu rakyat.
Kerajaan GRS-PH telah melaksanakan pelbagai program bantuan untuk pendidikan dan kesejahteraan rakyat yang belum pernah dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan negeri sebelum ini. “Tahun ini sahaja, bantuan bulanan RM300 diberikan kepada hampir 100,000 golongan miskin tegar, dan inisiatif ini akan diteruskan sekiranya rakyat mengembalikan mandat kepada GRS-PH pada pilihan raya akan datang,” tambah beliau.
Beliau turut menekankan kejayaan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan penyertaan sektor minyak dan gas melalui Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas pada 2021. Selain itu, melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB), kerajaan komited menangani isu kemiskinan bandar dan luar bandar melalui pembangunan bandar baharu.
Projek Bandar Baharu Paginatan seluas 200 ekar, terletak kira-kira 43 km dari Ranau, akan dibangunkan dalam lima fasa. Projek ini akan meliputi pejabat kerajaan, kedai, perumahan kos rendah, dewan serba guna, perpustakaan, pusat kesihatan, pasar, balai polis dan balai bomba. Dengan adanya projek ini, penduduk Paginatan tidak perlu lagi ke Ranau atau Telupid untuk berurusan dengan jabatan kerajaan.
Hajiji juga memberi jaminan bahawa isu-isu yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan, Datuk Abidin Madingkir, akan diberi perhatian sepenuhnya.